22 terima sijil pengawasan kejiranan

22 terima sijil pengawasan kejiranan

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 22 Okt – Seramai 22 orang terdiri daripada penghulu, ketua kampung serta ketua rumah panjang di seluruh mukim dan kampung di Daerah Belait menerima Sijil Pengawasan Kejiranan bertempat di Mes Pegawai, Ibu pejabat Polis Daerah Belait, Panaga Seria, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil-sijil tersebut ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Superintenden Ariffin bin Haji Jafaruddin.

Superintenden Ariffin dalam ucapannya berkata di antara tujuan majlis itu adalah untuk menyatakan penghargaan beliau kepada ahli-ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Pandan C dan Kampung Panaga yang telah turut serta dalam perbarisan lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Taman Haji Sir Omar ‘Ali Saifuddien di Bandar Seri Begawan yang lalu.

“Kerjasama yang diberikan serta keprihatinan dan tindakan biskita sedikit sebanyak akan mencegah berlakunya sebarang kegiatan-kegiatan jenayah dan penglibatan biskita semua (penghulu, ketua kampung dan ketua rumah panjang) adalah amat dihargai dalam sama-sama membantu pihak polis menjalankan rondaan pencegahan dan pemberantasan jenayah di kawasan masing-masing,” ujar Superintenden Ariffin.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee selaku Ketua Kampung Lumut 1 menerima sijil beliau daripada tetamu kehormat.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee selaku Ketua Kampung Lumut 1 menerima sijil beliau daripada tetamu kehormat.
Para penghulu mukim, ketua kampung dan ketua rumah panjang dari Daerah Belait bergambar ramai bersama para anggota polis selepas menerima sijil masing-masing.
Para penghulu mukim, ketua kampung dan ketua rumah panjang dari Daerah Belait bergambar ramai bersama para anggota polis selepas menerima sijil masing-masing.

Selain itu, ia juga adalah bagi membincangkan aktiviti pencegahan jenayah yang sudah dilaksanakan dan akan dirancang dengan gandingan polis bersama ahli pengawasan kejiranan serta turut mengongsikan kadar statistik jenayah dan kemalangan lalu lintas yang berlaku di kawasan Daerah Belait.

Terdahulu sebelum itu, Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam Polis, Gadong iaitu ASP Haji Mohd Noor bin Haji Abdul Rahman, bersama empat lagi Pegawai dan Pemangku Pegawai Penguasa Balai Polis Kuala Belat, Seria, Sungai Liang dan Labi iaitu ASP Ronnie @ Eric Chin, P/ASP Haji Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abdul Aziz, Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli dan Inspektor Nazri bin Haji Razali telah memberikan taklimat mengenai suku tahun ketiga mengenai perangkaan dan perbandingan kes jenayah serta kes lalu lintas.

ARTIKEL YANG SAMA