22 usahawan belia terima bantuan

22 usahawan belia terima bantuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Program Sumber Pembangunan Belia (YDR), yang merupakan inisiatif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), terus memberikan peluang kepada usahawan-usahawan muda khususnya belia untuk berkecimpung di dalam bidang keusahawanan.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Bantuan Perniagaan Mikro sebagai sebahagian Skim Bantuan Perniagaan Mikro di bawah Program Pembangunan Keusahawanan Belia (YEDP) telah diadakan di Bangunan Reka bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, di sini.

Seramai 22 orang penerima bantuan yang berjaya, telah menerima Sijil Bantuan Perniagaan Mikro mereka daripada Pengerusi YDR dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim yang turut mewakili Pengurusan Citi Foundation.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Institusi Perbankan BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan, Pengarah Tempatan PBT Engineering bagi mewakili pengurusan TEE International, Dayang Fauziah binti Dato Seri Paduka Haji Talib serta pegawai-pegawai kerajaan dan para jemputan khas.

Pengarah Urusan YDR, Dayang Nooreen Chi Abdullah dalam kata alu-aluannya mengucapkan tahniah kepada para penerima bantuan perniagaan mikro berkenaan dan menasihati mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan bagi mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang.

Hajah Hasnah (tengah), Dayang Nooreen Chi (dua dari kiri), Haji Minorhadi (tiga dari kiri) dan Dayang Fauziah (tiga dari kanan) bergambar ramai bersama para penerima Skim Bantuan Keusahawanan Belia.
Hajah Hasnah (tengah), Dayang Nooreen Chi (dua dari kiri), Haji Minorhadi (tiga dari kiri) dan Dayang Fauziah (tiga dari kanan) bergambar ramai bersama para penerima Skim Bantuan Keusahawanan Belia.

Beliau berkata, dengan pertumbuhan perniagaan mikro di Brunei, diharap lebih ramai belia tempatan akan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan menjana idea baru serta kreatif untuk membantu mempromosikan ekonomi lebih dinamik dan kompetitif serta dapat mengurangkan jumlah belia yang menganggur di Brunei.

Pada majlis berkenaan, para penerima bantuan menerima bantuan peralatan bagi perniagaan mereka dengan jumlah keseluruhan kira-kira $46,000.

YDR ditubuhkan pada 2008 oleh BEDB untuk menguruskan dana yang disumbangkan oleh penaja korporat sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka untuk membantu golongan muda Brunei memulakan perniagaan kecil atau mikro mereka.

Program YEDP yang ditubuhkan pada 2008 pula bermatlamat untuk membantu dan menggalakkan belia memulakan perusahaan mereka sendiri yang mana program itu mengandungi tiga elemen penting iaitu seminar motivasi, latihan dan bimbingan serta bantuan perniagaan mikro.

Melalui program itu, para usahawan diberikan bantuan dalam menyediakan peralatan atau perkakas yang diperlukan bagi memulakan perniagaan mereka.

Sehingga hari ini, program YDR telah memberi bantuan berjumlah lebih $270,000 kepada 116 buah perusahaan mikro untuk memulakan perniagaan atau perusahaan oleh belia-belia.

ARTIKEL YANG SAMA