220 warga sekolah kenali hidupan liar

220 warga sekolah kenali hidupan liar

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 15 Jun – Seramai 220 pelajar dan guru daripada Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Abu Bakar (SMPJN), Sekolah St James dan Sekolah St John, termasuk pegawai-pegawai dari Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan cawangan Daerah Belait telah menghadiri Jerayawara Kesedaran Mengenai Hidupan Liar yang diadakan di SMPJN, kelmarin.

Jerayawara fasa kedua anjuran Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) dengan kerjasama Syarikat Methanol Brunei (BMC) bagi sekolah-sekolah menengah Daerah Belait ini telah mengetengahkan kuiz-kuiz pengetahuan kepada para pelajar serta taklimat daripada organisasi BruWild dan juga Bahagian Hidupan Liar, KPSSU.

Hadir selaku tetamu kehormat di jerayawara kali ini ialah Ketua Cluster 6, Jabatan Sekolah-Sekolah, Dayang Nor Asurah binti Meludin.

Jerayawara ini adalah sebagai salah satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kedua-dua penganjur berkenaan yang sudah pun berterusan sejak tahun 2013, dihasratkan untuk memupuk dan merangsang pengetahuan generasi muda dan orang awam mengenai pemuliharaan dan perlindungan spesies hidupan liar di negara ini yang juga selaras dengan tema ‘Cintai dan Jaga Hidupan Liar Negara ini’.

Para pelajar SMPJN melihat lebih dekat lagi penyu yang dipamerkan di jerayawara itu.
Para pelajar SMPJN melihat lebih dekat lagi penyu yang dipamerkan di jerayawara itu.

Pada tahun ini, program tersebut telah diadakan di 11 buah sekolah menengah di Daerah Belait, dan telah dibahagikan kepada tiga fasa.

Fasa pelancaran pertama telah melibatkan Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Sekolah Menengah Perdana Wazir dan Chung Hwa Middle School.

Manakala bagi fasa ketiga pula akan diadakan di Maktab Anthony Abel, Seria pada 3 September nanti dan menurut Bahagian Hidupan Liar, kerjasama jerayawara ini akan berterusan selama dua tahun lagi untuk mencapai objektif kesedaran dalam kalangan orang awam di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA