22,000 dokumen IS didedahkan

22,000 dokumen IS didedahkan

LONDON, 11 Mac (AFP/Agensi) – Sebuah agensi berita, Sky News mendedahkan kira-kira 22,000 dokumen yang mengandungi nama, alamat, nombor telefon dan ahli keluarga anggota yang menyertai kumpulan militan Islamic State (IS).

Agensi penyiaran itu melaporkan bahawa bekas anggota militan yang kecewa telah menyerahkan dokumen tersebut melalui peranti memori yang dicuri daripada ketua keselamatan polis dalaman kumpulan berkenaan.

Kesemua dokumen itu adalah borang yang perlu diisi oleh ahli IS yang direkrut untuk diterima masuk ke dalam organisasi dan mengandungi maklumat mengenai kerakyatan daripada 51 buah negara.

“Sky News telah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara ini,” tulis saluran berita itu di laman web mereka.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang komen daripada Kementerian Luar atau Kementerian Dalam Negeri Britain.

Sesetengah dokumen itu dilaporkan mengandungi maklumat lokasi militan yang tidak diketahui sebelum ini, merentasi utara Eropah, Amerika Syarikat, Kanada serta Afrika Utara dan Asia Barat, kata agensi berita itu.