227 aduan pakej umrah tipu direkod sejak 2012

227 aduan pakej umrah tipu direkod sejak 2012

LABUAN, 9 Nov – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerima 227 aduan mengenai penipuan pakej umrah di seluruh negara sejak 2012 sehingga bulan lalu.

Setiausaha Bahagian Pelesenan Pelancongan, Siti Nor Minu berkata kompaun sebanyak RM372,000 dikeluarkan melibatkan 74 kes daripada 227 aduan itu di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 3,482 kes difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dengan jumlah tuntutan RM21,285,713.

“Polis turut menerima aduan melibatkan kerugian RM9,532,736 dalam tempoh hampir lima tahun sejak 2012,” katanya ketika berucap pada Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah, Ziarah dan Hak-Hak Kepenggunaan Labuan semalam.

Siti Nor turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pakej umrah atau daripada wakil ejen yang tidak dikenali berikutan bilangan kes yang membimbangkan.

Mengenai kempen itu, ia dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai khususnya dari jabatan, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat melibatkan industri pelancongan dan isu semasa berkaitan umrah dan hak asasi pengguna.

Kempen itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Tabung Haji (Jawhar). – Bernama