23 hilang nahas helikopter tentera Laos

23 hilang nahas helikopter tentera Laos

BANGKOK, 29 Julai (AFP) – Lebih daripada 20 orang hilang selepas sebuah helikopter tentera di Laos jatuh terhempas dalam keadaan cuaca buruk pada awal minggu ini, kata media negeri hari ini.

Kementerian Pertahanan Negara berkata kejadian itu berlaku sejurus selepas 1 petang pada Isnin ketika helikopter sedang terbang menuju ke wilayah timur laut Xiangkhouang dan Houaphanh, lapor agensi berita Laos KPL.

“Helikopter terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Penerbangan tidak lama selepas ia meninggalkan Ibu Negara Vientiane bersama empat orang anggota krew dan 19 penumpang,” kata laporan.

Anggota menyelamat telah dihantar untuk menjalankan usaha mencari di darat sementara usaha mencari dari udara dibatalkan disebabkan cuaca buruk, tambahnya.

Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Laos masih belum memberi respons kepada satu permintaan daripada AFP untuk memberi komen.

Negara komunis itu mempunyai sejarah keselamatan penerbangan yang lemah dengan sektor awam dan tentera mengalami nahas teruk baru-baru ini.

Pada Oktober 2013, sebuah kapal terbang awam yang dikendalikan oleh Lao Airlines terjunam ke Sungai Mekong dalam cuaca buruk, membunuh kesemua 49 orang penumpang.

ARTIKEL YANG SAMA