23 maut dalam kebakaran di hospital psikiatri

23 maut dalam kebakaran di hospital psikiatri

MOSCOW, 13 Dis (AFP) – Seramai 23 pesakit psikiatri, kebanyakannya warga emas, maut apabila satu kebakaran meletus di kemudahan penjagaan mereka di selatan Rusia malam kelmarin, dalam tragedi terbaru yang melanda hospital kesihatan mental di negara itu.

“Mayat 23 orang telah ditemui semasa pemeriksaan di tempat kejadian,” kata Komiti Siasatan dalam satu kenyataan hari ini, menambah bahawa seramai 23 orang lagi dimasukkan ke hospital.

Tujuh puluh pesakit dan empat jururawat berada di dalam wad itu apabila kebakaran meletus sejurus sebelum tengah malam (2100 GMT) kelmarin di hospital di kampung Alferovka, yang terletak di rantau Voronezh di selatan negara itu.

Kebanyakan yang terkorban dalam kebakaran itu berusia dalam lingkungan 60-an hingga 70-an, walaupun ada yang berusia dalam lewat 40-an dan 50-an, menurut senarai pesakit yang disiarkan oleh kementerian kecemasan.

Rangkaian berita Rossiya 24 milik kerajaan mengatakan mereka yang maut itu adalah pesakit yang terlantar di katil yang telah diberi ubat penenang.

“Mereka betul-betul tidak sedarkan diri,” kata seorang koresponden yang melaporkan di tempat kejadian.

Kebakaran itu telah meranapkan bangunan hospital yang diperbuat daripada kayu itu sehingga ke asasnya, dengan rakaman menunjukkan pekerja penyelamat menggeledah di kawasan runtuhan kebakaran.

Ia mengambil masa kira-kira tiga jam bagi seramai 440 para pemadam kebakaran mengawal kebakaran, yang tiba di tempat kejadian dengan menaiki sekitar 80 buah jentera.

Komiti Siasatan, yang melaporkan langsung kepada Presiden Vladimir Putin, mengatakan ia membuka siasatan jenayah ke atas kematian itu yang disyaki berkaitan kecuaian.

Pakar sedang mencari punca yang mencetuskan kebakaran berkenaan, kata para penyiasat.

Kebakaran itu merupakan tragedi terbaru yang melanda institusi psikiatri di Rusia, di mana infrastruktur era Soviet yang sudah lapuk itu masih lagi digunakan meluas dan pengurusnya sering mengambil pendekatan tidak tegas dalam keselamatan kebakaran.

Puluhan orang juga dipercayai meninggal dunia akibat kebakaran yang terjadi di rumah-rumah setiap tahun.

Kebakaran di sebuah hospital psikiatri di barat laut Rusia pada September 2013 mengakibatkan 37 orang maut, sementara kebakaran pada April pada tahun yang sama telah membunuh seramai 38 orang.

Pada 2009, 156 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah kelab malam di bandar Perm, 1,200 kilometer timur Moscow, suatu kemalangan paling maut dalam sejarah moden Rusia.