23 maut selepas makan manisan beracun

23 maut selepas makan manisan beracun

LAHORE, Pakistan, 25 April – Kira-kira 23 orang telah meninggal dunia dan berpuluh yang lain jatuh sakit di tengah Pakistan selepas memakan manisan yang polis syaki dicemari dengan racun serangga, menurut pegawai hari ini.

Umar Hayat, seorang penduduk di kawasan Karor Lal Esan di wilayah Punjab, membeli konfeksi bakar pada 17 April untuk diagihkan dalam kalangan rakan-rakan dan keluarga sempena kelahiran cucu lelakinya.

Namun perayaan mereka bertukar menjadi kegembiraan jangka pendek apabila 10 orang meninggal dunia pada hari yang sama.

“Jumlah kematian mereka yang makan manisan itu telah meningkat kepada 23, dan 52 orang masih lagi dirawat di pelbagai buah hospital,” pegawai polis tempatan, Munir Ahmed memberitahu AFP hari ini.

Menurutnya, kematian itu termasuk ayah anak damit lelaki tersebut dan tujuh bapa saudaranya.

Rameez Bukhari, seorang pegawai kanan polis dari daerah itu, mengesahkan insiden itu, menambah tiga orang – dua adik beradik yang menguruskan kilang roti dan seorang pekerja – telah ditangkap.

Para pekerja mungkin telah lalai menambah racun perosak kepada campuran manisan.

“Terdapat kedai racun perosak berhampiran yang masih lagi sedang diubahsuai, dan pemiliknya telah meninggalkan racun perosaknya di kedai roti itu untuk disimpan dengan selamat,” kata Bukhari. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA