23 nyawa terkorban berek runtuh

23 nyawa terkorban berek runtuh

Moscow, 14 Julai (Reuters) – Sekurangnya 23 askar Russia terbunuh dan 19 lagi cedera selepas berek kediaman mereka di Omsk, Siberia runtuh, kata Kementerian Pertahanan semalam.

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan menyelamat mengalihkan sisa runtuhan bangunan empat tingkat yang runtuh pada jam 11 malam (waktu tempatan) kelmarin.

Keseluruhan lantai di bangunan itu runtuh dan membentuk timbunan kepingan konkrit dan besi.

Seorang jurucakap kementerian berkata, sebuah pesawat dari Moscow yang membawa kelengkapan perubatan diterbangkan ke Omsk.

Katanya, beberapa mangsa yang cedera juga diterbangkan ke Moscow untuk dirawat.

Jurucakap Jawatankuasa Siasatan Persekutuan, Vladimir Markin berkata, pihaknya menyiasat kemungkinan kualiti projek baik pulih bangunan itu pada 2013 menjadi punca tragedi berkenaan.

“Semua yang bertanggungjawab dalam setiap kerja sehingga menyebabkan kejadian ini berlaku, tanpa mengira jawatan atau kedudukan akan dihukum,” katanya.

Russia mempunyai rekod keselamatan dan sejarah buruk berkait dengan bangunan runtuh atau kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Presiden Russia, Vladimir Putin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan Kementerian Pertahanan membantu askar yang cedera.