23 PATI ditahan dalam operasi di Kota Kinabalu

23 PATI ditahan dalam operasi di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 4 Sept – Polis menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di lima lokasi di sekitar pusat bandar raya ini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M.Chandra berkata kesemua yang ditahan itu hasil daripada pemeriksaan terhadap 53 individu dalam operasi enam jam bermula pukul 1 pagi di Bandaran Berjaya, Kolombong, dan perumahan setinggan Bukit Nenas.

“Polis turut menahan dua lelaki yang didapati positif dadah dalam ujian air kencing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chandra berkata semua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk didokumentasikan.

Beliau berkata tumpuan lokasi operasi adalah kawasan yang berpotensi sebagai sarang penjenayah dan pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

“Operasi merobohkan rumah setinggan oleh pihak berkuasa ke atas beberapa kawasan yang telah dikenal pasti dan pemotongan sambungan elektrik oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya. – Bernama