23 rumah dibadai ribut

23 rumah dibadai ribut

LABUAN, 5 Julai (Bernama) – Sekurang-kurangnya 23 buah rumah rosak termasuk bumbungnya diterbangkan angin kencang dalam kejadian di 14 buah kampung, di sini, sejak semalam hingga awal pagi ini.

Tujuh daripada rumah tersebut terletak di Kampung Bebuloh, dua rumah masing-masing di Sungai Bedaun, Sungai Miri dan Sungai Lada manakala sebuah rumah masing-masing di Kampung Layangan, Pohon Batu, Lubok Temiang, Rancha-Rancha, Sungai Keling, Kampung Pantai, Kerupang, Kilan, Patau-Patau dan Sungai Bangat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Ketua Pejabat Khidmat Komuniti Parlimen Labuan, Basran Yunus memberitahu Bernama hari ini bahawa bantuan segera seperti bahan pembinaan akan disalurkan kepada mangsa membaiki rumah masing-masing.

Selain itu, agensi dan jabatan kerajaan seperti Perbadanan Labuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menghulurkan bantuan termasuk bantuan kewangan.

Bumbung dan struktur rumah yang ditiup angin kencang sejak Sabtu dan awal kelmarin. – Bernama
Bumbung dan struktur rumah yang ditiup angin kencang sejak Sabtu dan awal kelmarin. – Bernama

Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan turut menerima beberapa panggilan kecemasan sejak semalam berhubung kejadian pokok tumbang di jalan raya di Kampung Lajau, Kampung Pantai dan Batu Arang.

Sementara itu, kira-kira 30 gerai di bazar Ramadan di Labuan Walk rosak dipukul angin kencang awal pagi tadi.

Bernama mendapati turut rosak ialah beberapa gerai di bazar di terminal teksi dan bas di Labuan Sentral Market dan Kampung Layang-Layangan.

“Angin kencang tiba-tiba melanda bazar. Saya hanya mampu melihat. Nasib baik tiada pembeli dan peniaga yang telah pulang ke rumah,” kata Roslan yang menyaksikan kejadian di Labuan Walk.

Bumbung sebuah kereta turut rosak akibat dihempap serpihan dari struktur bangunan yang jatuh di Financial Park Complex.