23 terima sijil kejurulatihan

23 terima sijil kejurulatihan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Kursus Kejurulatihan Pra-Musim FIFA 2016 anjuran Jabatan Perkembangan Bolasepak, NFABD berakhir hari ini dengan 23 orang pesertanya menerima sijil kehadiran masing-masing.

Menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta pada majlis di NFABD House berkenaan ialah EXCO NFABD, Awang Matussin bin Sumpong, sambil diiringi Instruktor FIFA dari Singapura, Sivaji Narayanan.

Awang Matussin dalam ucapan penutupnya mewakili NFABD menyatakan harapan NFABD supaya semua peserta sebagai jurulatih akan memainkan peranan masing-masing dengan lebih positif dan rasa bertanggungjawab bagi sama-sama meningkatkan mutu permainan bola sepak di negara ini.

Beliau menjelaskan bahawa kursus itu merupakan salah satu inisiatif NFABD bagi meningkatkan tahap kejurulatihan para peserta dengan mengikut kaedah keadaan semasa dan sebagai ulang kaji sebelum bermulanya Liga Super DST Brunei 2016 dan Liga Perdana DST Brunei 2016 pada Mac nanti.

“Tuan-tuan semua perlu memainkan peranan utama dan sebagai role model kepada pemain-pemain bagi membentuk dan membimbing mereka untuk menjadi pemain yang berkualiti dan boleh dibanggakan untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan bagi mewakili negara di kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.” katanya.

“Saya penuh berharap supaya tuan-tuan semua akan dapat menjalankan tugas sebagai seorang ketua jurulatih dengan penuh berdisiplin serta rasa tanggungjawab dan sentiasa bersikap terbuka,” tambahnya lanjut.

Kursus yang bermula dari 17 hingga 21 Februari itu bertujuan untuk membantu para jurulatih Liga Super/Perdana Brunei DST 2016 membuat perancangan terperinci jadual latihan pasukan mereka sebelum bermulanya musim baru liga bola sepak tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA