23 warga Filipina dipenjara, guna Mykad palsu

23 warga Filipina dipenjara, guna Mykad palsu

LUMUT, 17 Okt – Seramai 23 warga Filipina dihukum penjara dua tahun dan denda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini kerana memiliki kad pengenalan palsu serta menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Keputusan dibuat Majistret Nur Shaqira Ibrahim setelah kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan secara serentak ke atas mereka dalam bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.

Nur Shaqira turut memerintahkan kesemua tertuduh yang berumur antara 23 hingga 47 tahun dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda selain dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, 15 daripada tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan palsu, manakala lapan lagi didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut peraturan sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Seramai 23 warga Filipina termasuk lapan wanita dihukum penjara dua tahun dan didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini selepas mengaku salah memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain. – Bernama
Seramai 23 warga Filipina termasuk lapan wanita dihukum penjara dua tahun dan didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini selepas mengaku salah memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain. – Bernama

Semasa membuat pengakuan, kesemua tertuduh turut mengaku telah menetap di Malaysia antara satu bulan hingga 10 tahun.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya Mohd Ashgar Hussain dibantu Mohd Fazdhly Abdul Razak, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Ashgar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh yang rata-rata bekerja sebagai pekerja kontrak dan kilang kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain membabitkan keselamatan negara.

Kesemua tertuduh yang berasal dari selatan Filipina termasuk Zamboanga, Basilan, Davao, Jolo dan Sulu, ditahan dalam satu operasi oleh JPN di sekitar Manjung pada Jumaat lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA