232 graduan bakal terima ijazah

232 graduan bakal terima ijazah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail, Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Seramai 232 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-5 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober 2015 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Daripada jumlah itu, 25 graduan akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama, 73 graduan lagi akan menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama, 30 yang lain menerima Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah dan 104 lagi akan menerima Diploma Tertinggi Perguruan Ugama.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ra’es selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Konvokesyen ke-5 KUPU SB 1436H/2015M, Dr. Ustaz Haji Adanan bin Haji Basar pada persidangan media menjelang konvokesyen itu, yang diadakan di Bilik Persidangan KUPU SB, hari ini.

Katanya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan akan berkenan berangkat ke majlis itu, sekali gus berkenan menganugerahkan ijazah dan diploma kepada para graduan.

Menurutnya lagi, dua orang akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Aqidah), empat graduan akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Fiqh), 10 akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Pengurusan dan Pentadbiran), enam akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Kurikulum), tiga akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Penyeliaan), 27 akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Usuluddin) dan 46 akan menerima Ijazah Sarjana Perguruan Ugama (Syariah).

Menteri Hal Ehwal Ugama (kiri) antara yang hadir menyaksikan raptai berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Ugama (kiri) antara yang hadir menyaksikan raptai berkenaan.
Dr. Ustaz Haji Adanan bercakap kepada pemberita pada sidang media kelmarin.
Dr. Ustaz Haji Adanan bercakap kepada pemberita pada sidang media kelmarin.
Antara para bakal graduan yang hadir pada raptai tersebut.
Antara para bakal graduan yang hadir pada raptai tersebut.

Di samping itu, seramai 30 graduan akan menerima Diploma Perguruan Lepasan Ijazah, manakala 35 yang lain akan menerima Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Usuluddin) dan 69 lagi akan menerima Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Syariah).

Menurut beliau, seperti lazimnya pada tahun-tahun sebelumnya, KUPU SB telah menyusun beberapa acara bersempena konvokesyen ke-5 itu, dan akan diadakan sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Hadir sama pada persidangan media itu ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

Sementara itu, dalam memastikan kelancaran hari penuh makna buat bakal-bakal graduan berkenaan, raptai penuh Majlis Konvokesyen ke-5 KUPU SB telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Hadir menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Pada raptai penuh itu, bakal-bakal graduan telah diberikan taklimat dan diingatkan untuk mengenakan pakaian yang bersesuaian pada hari kemuncak itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA