24 ahli kartel ditahan polis Mexico

24 ahli kartel ditahan polis Mexico

MEXICO CITY, 1 Feb – Polis Mexico menahan 24 ahli kartel dadah Sinaloa dalam operasi bersama dengan Amerika Syarikat dan berjaya merampas senjata api serta dadah, kata pegawai.

Pegawai berkata, operasi rahsia pada Jumaat itu dilaksanakan bagi melumpuhkan kumpulan yang bertanggungjawab menyeludup sejumlah besar dadah termasuk heroin dan kokain masuk ke Amerika Syarikat bernilai jutaan dolar dan senjata api.

Jurucakap Penguatkuasa Imigresen dan Operasi AS, Gillian Christensen berkata, operasi diberi nama “Mexican Operation Diablo Express,” operasi itu menyasarkan ahli tertinggi dan kanan dalam Sinaloa yang menjalankan kegiatan di sekitar sempadan Bandar Sonoyta dan Arizona.

“Selepas mengambil kira tahap sensitif kes, operasi ini dilaksanakan dengan penuh rahsia bagi mengekalkan tahap keselamatan penguatkuasa Mexico yang mengendalikannya,” katanya.

Penahanan 24 ahli kartel itu bersama-sama beberapa jenis senjata api dan beratus-ratus pound dadah ternyata memberi tamparan hebat kepada kartel Sinaloa. Sementara itu, ketua kumpulan kartel Sinaloa, Joaquin “El Chapo” Guzman, raja dadah yang ditangkap semula pada 8 Januari oleh pihak berkuasa Mexico selepas melepaskan diri dari penjara. – AFP