24 kes tertembak ketika berburu di Sarawak tahun lepas

24 kes tertembak ketika berburu di Sarawak tahun lepas

KUCHING, 5 Jan (Bernama) – Sebanyak 24 kes tertembak semasa berburu dilaporkan di Sarawak tahun lepas, meningkat 14 kes berbanding tahun sebelumnya, dan ini mencetuskan kebimbangan polis berhubung penggunaan senapang patah buatan sendiri oleh pemburu yang boleh membahayakan keselamatan dirinya dan orang lain.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata daripada 24 kes, 13 orang maut manakala 12 cedera parah. Beliau berkata 23 orang ditahan, empat didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kematian ketika memburu, dan 24 senapang patah, kebanyakan tanpa lesen dan buatan sendiri dirampas dan menegaskan polis percaya banyak lagi kes tertembak tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Semalam seorang lelaki berusia 37 tahun mati selepas secara tidak sengaja ditembak semasa berburu bersama-sama dua rakan di sebuah ladang kelapa sawit di Belaga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat kritikan bahawa polis mengganggu mata pencarian mereka yang bergantung kepada kegiatan berburu dengan merampas senapang patah yang dimiliki secara haram, bagaimanapun statistik menunjukkan betapa seriusnya isu itu dan polis akan terus mengambil tindakan terhadap mereka yang memiliki senapang patah buatan sendiri.

Muhammad Sabtu berkata pada Oktober tahun lepas, tiga orang ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Bintulu kerana membuat senapang patah, dan lima senapang patah buatan sendiri bersama-sama pelbagai peralatan dan komponen yang digunakan untuk membuat senjata itu dirampas.