24 mayat anak damit dibuang di tapak pelupusan sampah

24 mayat anak damit dibuang di tapak pelupusan sampah

MAPUTO, 22 Sept (AFP) – Pihak berkuasa Mozambique kelmarin menyalahkan kecuaian manusia sebagai punca 24 anak damit yang mati semasa lahir di sebuah hospital tempatan dibuang ke tapak pelupusan sampah, lapor agensi berita AIM.

Datuk Bandar Matola, Calisto Cossa berkata, mayat anak damit di Hospital Wilayah Maputo itu disangka sampah oleh seorang pekerja dan diangkut ke sebuah tempat pembuangan sampah di luar Matola.

Mayat mereka akan dikebumikan selepas tidak dituntut oleh ibu bapa masing-masing.

“Apa yang berlaku (pada Jumaat lepas) ialah seorang pekerja memasukkan mayat-mayat anak damit itu ke dalam sebuah kenderaan yang membawa sisa biasa hospital,” kata seorang pegawai hospital berkenaan, Carolina Ma­cuacua kepada AIM.

Cossa pula memohon maaf kepada orang ramai berhubung kesilapan tersebut. Menurutnya, empat kakitangan hospital itu akan dikenakan tindakan.

“Kami sedar ini kesilapan manusia, justeru, kami memohon maaf bukan sahaja kepada warga kota Matola tetapi juga kepada masyarakat Mozambique,” katanya.