24 pasukan rebut Piala SC

24 pasukan rebut Piala SC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sejumlah 24 buah pasukan futsal akan berentap dalam Piala Standard Chartered (SC Cup) 2016 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bagi merebut hadiah utama berupa perjalanan ke Anfield, Liverpool, United Kingdom.

Juara berpeluang menonton perlawanan terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) 2015/2016 antara Liverpool dengan Watford di tempat duduk petak eksekutif, Stadium Anfield, ikut serta dalam sesi latihan Akademi Liverpool FC bersama para jurulatih serta bertemu lagenda Liverpool FC semasa sesi kejurulatihan sebelum perlawanan.

24 buah pasukan yang terdiri daripada 12 pasukan undangan dan 12 pasukan awam terpilih itu telah didedahkan malam tadi semasa Majlis Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan dan Pengundian. Mereka telah dibahagikan kepada lapan buah kumpulan.

Setelah undian dijalankan, Plan C FT, RB dan JBS FT terundi dalam Kumpulan A, manakala SCB FT, BruLiv Syabab FT dan BruAnfield FT akan bersaing dalam Kumpulan B.

Kumpulan C pula terdiri daripada Politeknik Brunei FC, BIBD FT dan Padian FT, sementara Kumpulan D mengandungi DST FT, OLSCB FT dan Real Five FT.

Akan bersaing dalam Kumpulan E pula ialah Media FT, TelBru FC dan CBTL FT, manakala Qahar FT, BLT FT dan HMD FT akan bersaing dalam Kumpulan F.

Terundi dalam Kumpulan G ialah naib juara Liga Futsal Brunei (BFL) 2015, Shah United FC, FMN FC dan AMBD 1, sementara Kumpulan H menyaksikan finalis yang tewas tahun lalu, Syahkampong FC terundi bersama BSP FT dan AMBD 2.

Kejohanan yang buat kali keduanya dianjurkan bersama oleh Bank Standard Chartered (SCB) dan NFABD itu akan dibuka rasmi pada malam 4 April nanti dan dijadualkan menutup tirainya dengan perlawanan akhir pada malam 9 April.

Perlawanan peringkat kumpulan akan dijalankan pada 4, 5 dan 6 April, manakala setiap juara kumpulan akan bersaing di peringkat suku akhir pada 8 April. Empat pasukan yang mara ke separuh akhir pula akan berentap pada malam 9 April, sebelum diteruskan dengan final.

Menurut Ketua Hal Ehwal Korporat, SCB, Marilyn Graeme, juara SC Cup 2016 akan terbang ke UK pada 5 Mei nanti dan seterusnya menyaksikan perlawanan Liverpool FC menentang Watford pada 7 Mei.

Menyentuh mengenai jadual kejohanan, Marilyn menjelaskan untuk peringkat kumpulan, tujuh perlawanan akan dijalankan pada Isnin, 4 April pada pukul 8:00-10:30 malam, kemudian diteruskan dengan lapan perlawanan pada Selasa, 5 April dari 8:00-10:45 malam dan seterusnya sembilan perlawanan pada Rabu, 6 April pada waktu yang sama.

Empat perlawanan peringkat suku akhir akan dijalankan pada pukul 2:30-5:00 petang, Jumaat, 8 April, manakala dua perlawanan separuh akhir dan final akan dijalankan pada Sabtu, 9 April dari pukul 8:00-10:30 malam.

EXCO NFABD, Haji Mohd Nor bin Haji Hamid yang turut mengendalikan majlis pengundian berkenaan telah mengambil kesempatan untuk menyeru semua pasukan supaya hadir memakai jersi pasukan masing-masing pada malam pembukaan itu nanti bersiap sedia untuk bermain, tertakluk kepada undian yang dijalankan pada malam itu.

Majlis Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Pengundian SC Cup 2016 itu telah turut mendengarkan Taklimat Teknikal daripada wakil Jawatankuasa Pengadil Futsal Negara Brunei Darussalam, Haji Kamran bin Haji Akop.