24 pengakap kita sertai jambori antarabangsa di KL

24 pengakap kita sertai jambori antarabangsa di KL

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan untuk menghantar rombongan seramai 24 orang pemimpin dan ahli pengakap untuk menyertai Jambori Pengakap Malaysia kali ke-13/Jambori Pengakap Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang berlangsung selama tujuh hari di Taman Metropolitan Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia, bermula esok (25 November).

Sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas telah menyerahkan bendera negara kepada Ketua Kontinjen Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Hajah Nor Rahmat binti Sidin di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, dua orang Naib Yang Dipertua PPNBD, Haji Awang Abu Bakar bin Haji Awang Ahmad dan Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Hassan, Setiausaha Agong PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, timbalan ketua pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan pegawai eksekutif pengakap serta ahli keluarga peserta jambori.

Bagi jambori berkenaan, PPNBD menghantar seramai sembilan orang pemimpin pengakap dan 15 orang ahli pengakap terdiri daripada ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana dari ahli PPNBD.

Kontinjen PPNBD bergambar ramai dengan pegawai-pegawai PPNBD sebelum berlepas ke Kuala Lumpur kelmarin.
Kontinjen PPNBD bergambar ramai dengan pegawai-pegawai PPNBD sebelum berlepas ke Kuala Lumpur kelmarin.

Jambori selama tujuh hari itu yang membawa tema, ‘Perpaduan melalui Berpengakap’ yang diisi dengan pelbagai kegiatan bercorak kemahiran dan cabaran untuk mencabar daya tahan fizikal dan mental para peserta.

Antara kegiatan jambori ialah cabaran aktiviti berpangkalan, rintangan ekstrem, kembara alam dan budaya, jelajah bandar raya, pertandingan kemahiran, aktiviti khas dan pameran informasi.

Jambori itu akan menyaksikan penyertaan lebih 10,000 orang peserta daripada 11 buah negara luar iaitu Negara Brunei Darussalam, Hong Kong, Indonesia, Kazakhstan, Kenya, Korea Selatan, Maldives, Filipina, Sri Lanka, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Peserta kontinjen PPNBD juga giat mengadakan latihan tarian tradisional bagi memantapkan persembahan kebudayaan yang akan dipersembahkan semasa jambori itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA