24 pengakap tunas jalani ujian Lencana Kemahiran

24 pengakap tunas jalani ujian Lencana Kemahiran

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Seramai 24 ahli Pengakap Tunas dari Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok dan Sekolah Rendah Kampung Mata-Mata telah mengikuti latihan dan ujian lencana kemahiran secara bersepadu bagi mendapatkan Lencana Keahlian Pengakap dan Lencana Memasak.

Latihan dan ujian yang dikendalikan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas itu telah diadakan di ruang dapur Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, sebelum ujian dimulakan pemimpin pasukan Pengakap Tunas dari kedua-dua sekolah tersebut terlebih dahulu menerangkan kepada ahli-ahli mengenai kepentingan langkah-langkah keselamatan yang perlu dilakukan semasa menggunakan peralatan dapur gas, kebersihan serta keselesaan ruang dapur.

Ahli-ahli seterusnya dibimbing dan diajar untuk menghidupkan api dari dapur gas, memasak air, membuat minuman panas, membersihkan telur daripada sebarang kekotoran sebelum digunakan, menggoreng telur, merebus telur dan membuat sandwic telur.

Seterusnya mereka diminta untuk membersihkan semua peralatan dapur yang telah digunakan.

Ahli-ahli diajar cara membuat sandwic telur.
Ahli-ahli diajar cara membuat sandwic telur.
Ahli-ahli Pengakap Tunas belajar menggoreng telur.
Ahli-ahli Pengakap Tunas belajar menggoreng telur.

Di samping menerapkan pemahaman bahawa dalam setiap kegiatan yang disertai perlu diberikan penekanan mengenai keutamaan penjagaan kebersihan, latihan dan ujian memasak ini diharapkan dapat membantu mereka untuk membuat sendiri makanan dan minuman yang mudah ketika mereka berada di rumah masing-masing.

Latihan lain yang turut dijalankan adalah ulang kaji sebelum mereka diuji mengenai pemahaman dan membuat praktikal Laung Agung, menaikkan bendera, buku log, Persetiaan Pengakap Tunas, Undang-undang Pengakap Tunas, bagaimana memberi hormat kepada pemimpin dan pakaian seragam lengkap Pengakap Tunas, kraf tangan pengakap dan nyanyian Pengakap.

Di akhir latihan, mereka memakan sandwic telur dan minum air panas yang mereka hasilkan sendiri.

Pesuruhjaya Ibu Pejabat (Bahagian Pengakap Tunas), Hajah Noraini binti Haji Saidi, yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas SR Orang Kaya Besar Imas Subok memberitahu latihan dan ujian yang diadakan ini bertujuan untuk membantu pemimpin-pemimpin pasukan pengakap tunas mengendalikan latihan mingguan dan ujian lencana kemahiran bersama-sama di samping memudahkan pengajaran sistem latihan yang lebih sepadu dan selaras bagi ahli-ahli Pengakap Tunas.

ARTIKEL YANG SAMA