24 sertai Rapsodi 2015 di Singapura

24 sertai Rapsodi 2015 di Singapura

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Rombongan seramai 24 orang yang berkecimpung dalam industri muzik tanah air telah berlepas ke Singapura, hari ini, bagi menghadiri dan menyertai sebuah rancangan hiburan, Rapsodi 2015 yang akan berlangsung di TV Theatre, MediaCorp Singapura pada 13 November ini.

Persembahan Rapsodi yang diterbitkan dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) dan MediaCorp Singapura itu melibatkan lima orang penyanyi tempatan, lima pemuzik tanah air, lima penari, seorang pengacara dan seorang pelawak yang diketuai oleh Penerbit Eksekutif RTB, Awang Mohd Othman bin Haji Mohd Hassan.

Rapsodi tahun ini merupakan tahun ke-25 Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura melaksanakan Memorandum Persefahaman dalam Bidang Penyiaran dan Informasi sejak ia ditandatangani pada tahun 1990.

Antara mereka yang berlepas ke Singapura, kelmarin bagi menyertai Rapsodi 2015.
Antara mereka yang berlepas ke Singapura, kelmarin bagi menyertai Rapsodi 2015.

Dengan membawa tema ‘Evolusi Muzik,’ rapsodi selama lebih satu jam itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTB 2, RTB 3, HD dan radio Nasional FM, pada 13 November bermula jam 8:30 malam.

Menurut Awang Mohd Othman, konsep persembahan akan mengetengahkan perjalanan industri muzik dari aspek kreativiti dan inovatif, pengisian bagaimana muzik itu boleh maju dan berkembang mengikuti peredaran zaman dahulu hinggalah zaman sekarang yang serba canggih.

Temanya akan memperlihatkan perkembangan teknologi penggunaan lama dan trend terkini diselitkan dengan mod ‘imbas kembali’ dengan pengisian sebanyak enam segmen yang menampilkan beberapa elemen perkembangan muzik seperti Teknologi Muzik, Nostalgia, Sejarah Muzik, Budaya Popular, Trend Remaja dan Peningkatan Visual.

ARTIKEL YANG SAMA