243 kes kemalangan dicatat

243 kes kemalangan dicatat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Sebanyak 243 kes kemalangan jalan raya termasuk satu kes yang melibatkan kematian telah dilaporkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei bagi bulan April 2016.

Daripada jumlah berkenaan, Daerah Brunei dan Muara telah mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu sebanyak 171 kes, Daerah Tutong 28 kes, Daerah Belait mencatatkan 43 kes termasuk satu kes yang melibatkan kematian dalam kemalangan sendiri (motosikal) dan satu kes pula di Daerah Temburong.

Sementara itu, JSKLL dalam kenyataannya hari ini, turut melaporkan sebanyak 753 kes atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang didapati menerusi 47 operasi penguatkuasaan lalu lintas.

Sebanyak 507 kes direkodkan oleh JSKLL Gadong menerusi 31 operasi dan JSKLL cawangan Batu 3, Belait, mencatatkan 246 kes dengan 16 operasi.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya juga memaklumkan bahawa JSKLL telah mengambil tindakan pada bulan lalu ke atas para pemandu yang telah didapati melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas semasa mengadakan operasi penguatkuasaan mahupun semasa rondaan penguatkuasaan lalu lintas.

ARTIKEL YANG SAMA