25 anak damit 15 Julai dirai

25 anak damit 15 Julai dirai

Oleh Siti Nur Wasimah S., Sim Y. H. & Hajah Saemah Kepli

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Seramai 25 orang anak damit telah dilahirkan di keempat-empat daerah pada 15 Julai tahun ini, hari penting tatkala seluruh Negara Brunei Darussalam menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 16 orang anak damit, iaitu enam lelaki dan 10 perempuan dilahirkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di ibu negara, dua (seorang lelaki dan seorang perempuan) dilahirkan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, dan tujuh (dua lelaki dan lima perempuan) lagi dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, sementara itu tiada kelahiran dicatatkan di Daerah Temburong.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyampaian Cenderamata Kepada Anak-Anak Damit Lahir Pada 15 Julai 2015 Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 telah diadakan di keempat-empat daerah, hari ini.

Setiap anak damit menerima cenderamata berupa barang keperluan anak damit, sijil dan plak daripada Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun.

Datin Hajah Kalshom menyampaikan cenderamata kepada ibu salah seorang anak damit yang diraikan di Hospital RIPAS.
Datin Hajah Kalshom menyampaikan cenderamata kepada ibu salah seorang anak damit yang diraikan di Hospital RIPAS.
Sumbangan daripada Perbadanan TAIB disampaikan oleh Hajah Norlila pada majlis di Hospital RIPAS.
Sumbangan daripada Perbadanan TAIB disampaikan oleh Hajah Norlila pada majlis di Hospital RIPAS.
Pasangan Awang Hiryandy @ Muhammad Mahdi bin Haji Mohd Yassin dan Dayang Aini Solahiah meluahkan perasaan gembira dengan kelahiran anak kedua mereka.
Pasangan Awang Hiryandy @ Muhammad Mahdi bin Haji Mohd Yassin dan Dayang Aini Solahiah meluahkan perasaan gembira dengan kelahiran anak kedua mereka.
Dayang Norafidah menyampaikan cenderamata kepada anak damit yang diraikan bagi Daerah Tutong.
Dayang Norafidah menyampaikan cenderamata kepada anak damit yang diraikan bagi Daerah Tutong.
Pengiran Hajah Faridah menyampaikan cenderamata kepada ibu salah seorang anak damit yang diraikan di Daerah Belait.
Pengiran Hajah Faridah menyampaikan cenderamata kepada ibu salah seorang anak damit yang diraikan di Daerah Belait.
Daerah Belait mencatatkan kelahiran tujuh orang anak damit pada 15 Julai tahun ini.
Daerah Belait mencatatkan kelahiran tujuh orang anak damit pada 15 Julai tahun ini.

Selain daripada itu, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) turut menyumbangkan Akaun Simanja bernilai $100 berserta hamper.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Bilik Seminar, Tingkat 2, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak RIPAS, dan hadir selaku tetamu kehormat ialah isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili yang seterusnya menyampaikan cenderamata kepada anak-anak damit berkenaan.

Sementara itu, sumbangan daripada Perbadanan TAIB disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Hajah Norlila binti Haji Idris.

Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Kesihatan, isteri setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), isteri timbalan setiausaha tetap KHEDN, para pegawai dan kakitangan KHEDN, Kementerian Kesihatan dan Perbadanan TAIB.

Majlis juga diserikan dengan persembahan dikir oleh kumpulan dikir Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Saba dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Di ruang legar Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, majlis seumpamanya telah dihadiri oleh isteri Pegawai Daerah Tutong, Dayang Norafidah binti Ahad selaku tetamu kehormat yang seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata dan sumbangan daripada perbadanan TAIB.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bin Uking, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abdul Rauf dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, para pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

Di majlis berkenaan, Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa kelahiran anak damit pada 15 Julai sudah setentunya satu kenangan yang indah dan manis bagi setiap keluarga yang bertuah iaitu Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-69.

Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai serta bacaan Doa Kesyukuran.

Manakala itu, penyampaian cenderamata di majlis yang berlangsung di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait telah disempurnakan oleh isteri Pemangku Pegawai Daerah Belait, Pengiran Hajah Faridah binti Pengiran Haji Mohammad selaku tetamu kehormat.

Sumbangan daripada Perbadanan TAIB telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Kanan Jabatan Pemasaran, Hajah Zazarina binti Haji Zainuddin.

ARTIKEL YANG SAMA