25 guru, pega...

25 guru, pegawai tambah ilmu ternak madu kelulut

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Dalam usaha mengenali lebih dekat lagi perusahaan madu kelulut, rombongan seramai 25 orang guru dan pegawai-pegawai daripada Unit Pendidikan Khas (UPK) dan Jabatan Sekolah-sekolah telah melawat Syarikat Tafrijiyah di Kampung Rimba, baru-baru ini.

Lawatan tersebut diketuai oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Bantuan Pembelajaran Peringkat Menengah dan Pengajian Tinggi, UPK, Awang Salim bin Haji Putih.

Ia diusahakan oleh UPK dengan tujuan untuk melihat secara lebih dekat perusahaan madu kelulut yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan selain dihasratkan untuk menambah ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman dalam membuat perusahaan kecil yang diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu guru kelas Program Pra-Vokasional dalam membimbing dan menunjuk-ajar pelajar-pelajar berkeperluan khas untuk menjadi usahawan kecil yang produktif dan Berjaya.

Rombongan guru dan pegawai daripada UPK bergambar ramai bersama Pengurus Syarikat Tafrijiyah.
Rombongan guru dan pegawai daripada UPK bergambar ramai bersama Pengurus Syarikat Tafrijiyah.
Rombongan dibawa melihat lebih dekat mengenai proses penternakan lebah kelulut yang menghasilkan madu.
Rombongan dibawa melihat lebih dekat mengenai proses penternakan lebah kelulut yang menghasilkan madu.

Hadir mengalu-alukan kedatangan rombongan ialah Pengurus Syarikat Tafrijiyah, Awang Suhaili bin Haji Mohd Yusof.

Semasa lawatan, Awang Suhaili telah menerangkan mengenai latar belakang ladang ternakan lebah kelulut dan diikuti dengan lawatan ke ladang dan berpeluang merasa madu kelulut. Untuk memeriahkan lagi lawatan, kuiz mengenai perusahaan madu kelulut telah dijalankan.

Di akhir lawatan itu, Awang Salim telah menyampaikan cenderahati kepada pihak pengurus Syarikat Tafrijiyah sebagai tanda penghargaan.