25 hadiri bengkel penulisan ilmiah UNISSA

25 hadiri bengkel penulisan ilmiah UNISSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam (FBATI), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), buat julung-julung kalinya telah mengendalikan Bengkel Penulisan Ilmiah Siri Pertama yang diadakan di Auditorium UNISSA, kelmarin.

Seramai 25 orang yang terdiri daripada tenaga akademik tempatan UNISSA telah berjaya mengikuti bengkel tersebut dan menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Menurut kenyataan UNISSA, inisiatif ini merupakan satu inisiatif yang terhasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara UNISSA dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang Malaysia khasnya dalam sama-sama berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran dalam penulisan ilmiah dan kajian melalui sesi muzakarah, ceramah dan bengkel.

Dekan FBATI, Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad memberitahu, antara objektif bengkel ini adalah untuk menggalakkan budaya penulisan ilmiah dalam kalangan tenaga akademik UNISSA dan membantu para tenaga akademik menghasilkan sebuah artikel yang berkualiti yang boleh dimuatkan dalam jurnal berwasit dan berimpak tinggi.

Antara yang menyertai bengkel penulisan ilmiah itu.
Antara yang menyertai bengkel penulisan ilmiah itu.

Selain itu, ia juga bagi mengongsikan teknik dan panduan dalam menghasilkan sebuah penulisan ilmiah yang berkualiti serta meningkatkan kualiti tenaga akademik FBATI khasnya dan UNISSA amnya bukan sahaja dalam bidang pengajaran bahkan juga dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

Dr. Siti Sara melahirkan harapan dengan adanya bengkel siri pertama ini, tenaga akademik akan lebih mengetahui definisi penulisan ilmiah, faktor-faktor yang menyebabkan artikel diterima dan ditolak dan juga mengenal pasti jurnal ilmiah yang bersesuaian dengan bidang pengkhususan masing-masing.

Bagi penganjuran siri yang seterusnya, para tenaga akademik tempatan UNISSA diharap akan dapat menerbitkan sebuah artikel ilmiah yang berwasit.

Bengkel berkenaan dikendalikan oleh dua orang fasilitator iaitu Pengarah ISDEV, USM sebagai Profesor Adjung Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Profesor Mohd Sakri@Shukri bin Salleh dan Profesor Madya ISDEV, USM, Profesor Madya Dr Zakaria bin Bahari.

ARTIKEL YANG SAMA