25 kakitangan DST ikuti kursus bahasa isyarat

25 kakitangan DST ikuti kursus bahasa isyarat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Seramai 25 orang kakitangan DST telah menamatkan Kursus Asas Bahasa Isyarat – Jari-jari ku – yang berlangsung di sebuah hotel terkenal di ibu negara.

Kursus tersebut dikendalikan oleh pelatih-pelatih dari Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan, diketuai oleh Penyelaras bagi Kanak-kanak Kurang Upaya Pendengaran, Dr. Hajah Norbayah binti Haji Shahminan.

Menurut kenyataan DST di sini, sepanjang kursus tiga hari itu para peserta telah mempelajari bahasa asas isyarat untuk memperkenalkan diri, dan melakukan perbualan asas dengan pengguna bahasa isyarat lain.

Mereka turut mempelajari abjad manual dan beberapa perbendaharaan kata berkaitan perbualan seharian.

Gambar ramai bersama Dayang Ramlah.
Gambar ramai bersama Dayang Ramlah.

“DST mengakui pentingnya prosedur amalan terbaik di tempat kerja yang mana bilangan meningkat individu-individu berkeperluan khas diambil bekerja oleh DST dan kursus latihan memberikan peluang bagi para kakitangan yang kerap berinteraksi dengan mereka di tempat kerja setiap hari.

“Dengan adanya kursus ini, individu-individu yang kurang upaya pendengaran akan dengan mudah dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan sekerja mereka terutamanya sekali bagi mereka yang menyertai latihan ini dan ia penting untuk meningkatkan produktiviti individu-individu itu dan juga produktiviti syarikat,” kata kenyataan itu lagi.

Pada masa ini, seramai 10 orang kakitangan DST yang kurang upaya pendengaran bekerja menerusi kerjasama antara Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Sumber Tenaga DST melalui program DST Ihsan Kasih CSR bagi individu-individu berkeperluan khas.

Para peserta kemudiannya menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan DST, Dayang Ramlah binti Haji Rabaha.

ARTIKEL YANG SAMA