25 maut kebakaran di Bangladesh

25 maut kebakaran di Bangladesh

DHAKA, 11 Sept – Anggota bomba Bangladesh bergelut hari ini bagi operasi penyelamat sebuah kilang pembungkusan yang terbakar dan membunuh 25 orang di tengah-tengah kebimbangan bahawa terdapat mangsa yang belum lagi ditemui di dalam bangunan yang musnah itu.

Sekitar 100 orang bekerja di kilang itu pada Sabtu apabila api yang disebabkan oleh letupan di sebuah bilik telah meranapkan struktur bangunan empat tingkat di pinggir di ibu negara Dhaka.

Anggota keselamatan pemadam kebakaran, Anis Mahmud berkata pekerjanya bekerja keras sepanjang malam untuk memadamkan kebakaran tetapi struktur itu masih terlalu berbahaya untuk dimasuki.

“Bangunan ini masih berdiri di atas rangka tetapi sebahagian besar dinding telah runtuh. Terdapat lubang kecil akibat kebakaran itu dan kita tidak berjaya masuk,” Mahmud memberitahu kepada AFP.

Kira-kira 70 orang turut cedera, beberapa orang mengalami keadaan kritikal, dalam kebakaran di kilang Tampaco Foils Limited, yang menyediakan pakej produk makanan dan jenama-jenama rokok tempatan dan luar negara.

Anggota bomba Bangladesh cuba memadamkan api yang marak dari letupan di sebuah kilang di bandar perkilangan utama Tongi, di utara ibu negara Dhaka, kelmarin. – AFP
Anggota bomba Bangladesh cuba memadamkan api yang marak dari letupan di sebuah kilang di bandar perkilangan utama Tongi, di utara ibu negara Dhaka, kelmarin. – AFP

Seorang lagi ahli bomba berkata beliau bimbang bahawa masih terdapat lagi mangsa di dalam kilang di bandar perindustrian Tongi itu.

“Mungkin terdapat lebih banyak mangsa di bawah runtuhan semasa kemalangan itu,” katanya kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Kebakaran itu merupakan kejadian yang terbaru dalam siri kemalangan maut dan yang terburuk sejak insiden bangunan runtuh di kompleks pakaian Plaza Rana pada tahun 2013 yang mengorbankan lebih daripada 1100 orang dalam satu bencana industri terburuk di dunia.

Pemeriksa kilang Bangladesh Syed Ahmed berkata, siasatan akan dijalankan terhadap kemalangan Sabtu lalu itu.

“Kita akan mengetahui orang yang bertanggungjawab di sebalik bencana ini dan akan mengambil segala tindakan yang perlu dan undang-undang,” Ahmed memberitahu kepada AFP.

Menurut laman web syarikat, kilang pembungkusan itu membekalkan jenama antarabangsa dan tempatan termasuk British-American Tobacco Bangladesh Limited dan Nestle Bangladesh Limited.

Kumpulan hak Buruh menggesa kerajaan Bangladesh dan syarikat-syarikat Barat untuk bekerja lebih keras untuk melindungi keselamatan pekerja dalam rantaian bekalan mereka. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA