25 pelajar IB ISB lulus cemerlang BM

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Seramai 25 orang penuntut International Baccalaureate (IB) dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) memperoleh keputusan cemerlang Bahasa Melayu pada sesi peperiksaan November 2016, dengan 84 peratus mencatatkan Peringkat 6 dan 7 iaitu menyamai gred A dan A*.

Antara penuntut yang meraikan kejayaan tersebut dalam melengkapkan kursus intensif Bahasa Melayu tersebut adalah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Aizzatul Bulqiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.

“Saya berterima kasih kepada guru-guru dan sahabat saya di ISB: belajar dan berusaha bersungguh-sungguh banyak membantu dalam mencapai kriteria IB dan melakukan yang terbaik untuk pencapaian tersebut dalam Bahasa Melayu. Saya berharap untuk melengkapkan pengajian Diploma IB saya pada Mei nanti dan melanjutkan pengajian ke universiti di UK,” kata YAM Pengiran Anak ‘Aizzatul Bulqiah.

Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) adalah program pendidikan selama dua tahun yang disasarkan kepada penuntut-penuntut berusia 16 sehingga 19 tahun, bagi menyediakan mereka kelayakan penerimaan antarabangsa untuk memasuki ke peringkat pendidikan lebih tinggi, dan ia diterima secara meluas oleh universiti-universiti di seluruh dunia.

Penuntut-penuntut International Baccalaureate (IB) dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) yang memperoleh keputusan cemerlang Bahasa Melayu pada sesi peperiksaan November 2016.
Penuntut-penuntut International Baccalaureate (IB) dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) yang memperoleh keputusan cemerlang Bahasa Melayu pada sesi peperiksaan November 2016.

Menurut Ketua Sekolah Menengah, Robert Commons, ISB menawarkan IBDP sejak tahun 2002.

“Majoriti penuntut kami mengambil Diploma IB, kami menawarkan laluan tambahan ke universiti. Secara purata, kira-kira 95 ke 100 peratus pelajar ISB melanjutkan pengajian ke peringkat universiti,” katanya sambil menambah, pihaknya gembira bahawa sebahagian daripada lepasan Tahun 13 ISB sudah menerima tawaran daripada universiti-universiti seperti Cardiff, Kent, Essex, Reading, Nottingham dan Lancaster.

Katanya, mereka pada masa ini menjalani peperiksaan percubaan dan akan melengkapkan peperiksaan terakhir dan akan menerima ijazah pada Mei 2017.