25 sertai Kursus Pengadil MA FIFA

25 sertai Kursus Pengadil MA FIFA

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kursus Pengadil MA (Member Association – Anggota FIFA) 2015 bagi Negara Brunei Darussalam bermula hari ini dan dijadualkan berakhir 4 Oktober nanti.

Seramai 25 orang pengadil tempatan termasuk sembilan orang yang bertaraf FIFA menyertai kursus selama lima hari meliputi sesi teori dan amali di NFABD House berkenaan. Kursus setahun sekali anjuran FIFA bagi setiap persatuan bola sepak kebangsaan yang bernaung di bawahnya itu dibuka rasmi oleh Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

Pada majlis berkenaan, Pegawai Perkembangan Pengadil FIFA dari Malaysia, Mohd Rodzali bin Yaacob telah turut mewakili FIFA bagi menyampaikan hadiah FIFA berupa peralatan dan kelengkapan pengadil kepada Jabatan Pengadil NFABD, yang diterima sendiri oleh Haji Muhd Zamri.

Beliau yang juga merupakan pemudahcara kursus, dalam ucapannya menjelaskan bahawa hadiah dari FIFA itu hendaklah digunakan bagi kegunaan pembangunan pengadil di negara ini khususnya, namun tidak melarang ia digunakan oleh unit atau jabatan lain dalam NFABD asal saja bertujuan untuk pembangunan bola sepak.

Mohd Rodzali menegaskan para pengadil perlu menggunakan segala ilmu yang diperoleh dari kursus berkenaan kerana setiap keputusan pengadil di dalam padang memberi kesan kepada pembangunan bola sepak di Negara Brunei Darussalam.

Sesi bergambar ramai para peserta dan pemudahcara kursus bersama Haji Mohd Zamri (duduk 6 dari kiri), Exco dan pegawai NFABD yang hadir.
Sesi bergambar ramai para peserta dan pemudahcara kursus bersama Haji Mohd Zamri (duduk 6 dari kiri), Exco dan pegawai NFABD yang hadir.

Beliau menjelaskan antara lain tujuan kursus setahun sekali itu dianjurkan FIFA adalah bagi mempertingkatkan mutu pengadil dan pengadilan bola sepak dalam semua perlawanan di semua peringkat, di samping memastikan keselarasan fahaman dan penggunaan Undang-Undang Permainan oleh semua pengadil di seluruh dunia.

Haji Muhd Zamri dalam ucapan perasmiannya telah mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas hadiah yang diberikan oleh FIFA berkenaan sekali gus berikrar untuk menjaga dan menggunakan hadiah itu sebaik mungkin, khususnya bagi pembangunan pengadil dan umumya ke arah pembangunan bola sepak di negara ini.

Dia berharap kursus itu akan mampu mempertingkatkan lagi pengetahuan pengadil elit di negara ini sambil menyatakan hasratnya untuk melihat para pengadil tanah air terlibat dan terpilih untuk mengadili perlawanan-perlawanan bertaraf lebih tinggi sama ada di dalam mahu pun di luar negeri.

Kursus akan turut dimudahcara oleh Instruktor Kecergasan FIFA, Ravichandran Chappanimutu. Hadir sama semasa majlis pembukaan rasmi kursus berkenaan ialah Exco Pengadil NFABD, Awang Abdul Halim bin Haji Metussin serta Exco dan pegawai NFABD yang lain.

ARTIKEL YANG SAMA