25 tenaga pengajar tamat kursus

25 tenaga pengajar tamat kursus

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 Sept – Seramai 25 orang tenaga pengajar dari tujuh kampus di bawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), hari ini, menerima sijil masing-masing setelah berjaya menamatkan kursus ‘Latih Pelatih: Kemahiran Kehidupan’ yang berlangsung selama empat hari di Bangunan Cemerlang, HadbPembelajaran Shell Asia Pasifik Brunei (BAPSLH), Seria.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil-sijil ialah Pengetua IBTE, Dr Sheikh Lukman bin Sheikh Hamid selaku tetamu kehormat.

Kursus yang dikendalikan oleh empat penyelaras kursus, Haji Mahmud bin Haji Masron dan Haji Lani bin Abdul Samad dari Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP), Dr Jess Ravalo dan Ferdinand De Chavez masing-masing dari Pusat Pembangunan Latihan Adinin dan Kumpulan Syarikat-syarikat Mashhor, mengetengahkan lima modul pelajaran iaitu pengurusan diri, merancang dan mengurus, bekerja dengan orang lain, penyelesaian masalah serta inisiatif dan perusahaan.

Dalam temu bual bersama media, Pakar Pembangunan Kurikulum di bawah Bahagian Perkembangan Kurikulum IBTE, Dayang Zarena binti Awang @ Bolhari berkata tema program latihan bertumpu kepada membina keyakinan diri, pengetahuan dan kemahiran hidup yang selaras dengan transformasi IBTE.

Gambar ramai bersama para peserta kursus dan juga kakitangan yang terlibat.
Gambar ramai bersama para peserta kursus dan juga kakitangan yang terlibat.

Program yang bermula dari 14 September lalu menutup tirainya dengan ucapan tetamu kehormat dan gambar ramai para peserta dan kakitangan yang terlibat dalam kursus itu.

Salah seorang peserta program latihan yang ditemui, Dayang Ng Sui Fung atau Alice dari Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah berkata, kursus ini pastinya telah membuka mata beliau dan merasa kagum dengan modul-modul yang diperkenalkan dalam pembelajarannya dan menyatakan ia akan berguna dalam hidup seharian serta pengajaran kepada para pelajar.

Kursus yang pertama kali diadakan ini merupakan kerjasama di antara BSP, BAPSLH, Pusat Pembangunan Latihan Adinin, Kumpulan Syarikat-syarikat Masshor dan IBTE.

ARTIKEL YANG SAMA