25 terkorban, hospital terbakar

25 terkorban, hospital terbakar

RIYADH, 24 Dis (AFP) – Kebakaran di sebuah hospital di Arab Saudi hari ini, mengorbankan kira-kira 25 orang dan mencederakan 107 yang lain, menurut pihak berkuasa.

Kebakaran berlaku di unit penjagaan rapi dan bahagian bersalin Hospital Besar Jazan di selatan Arab Saudi, menurut agensi pertahanan awam melalui Twitter.

Menurutnya dalam kemas kini kemudian, kebakaran itu berjaya dipadamkan dan penyiasatan sedang dijalankan mencari punca kebakaran.

Sebanyak 21 buah pasukan pertahanan awam membantu memadamkan kebakaran, tambahnya.

Surat khabar harian Alriyadh memetik seorang jurucakap pertahanan awam sebagai berkata bahawa agensi itu telah dihubungi tentang kebakaran itu pada pukul 2 pagi.

Anggota Pertahanan Awam Saudi memeriksa kerosakan di Hospital Besar Jazan. – Reuters
Anggota Pertahanan Awam Saudi memeriksa kerosakan di Hospital Besar Jazan. – Reuters

Pada bulan Ogos lalu, 10 orang terbunuh dan 259 orang cedera dalam kejadian kebakaran di kompleks kediaman yang disewa oleh syarikat gergasi Saudi Aramco di Wilayah Timur, Arab Saudi.

Kebakaran itu berpunca dari litar pintas elektrik di tempat letak kereta bawah tanah, menurut pihak berkuasa.

Kebakaran hari ini mengundang gelombang kritikan di kalangan para pengguna media sosial yang merungut bahawa wilayah Jizan, terutamanya hospital-hospitalnya berdepan infrastruktur yang tidak mencukupi.

“Kami mesti bercakap jujur. Jizan telah diabaikan oleh kerajaan,” selama berdekad-dekad, Ahmed seorang pengguna Twitter menyatakan.

“Mungkin bencana ini boleh membuatkan situasi teruk di hospital-hospital di Jazan menjadi perhatian. Meskipun harapan kami ini tipis,” untuk ini, menurut seorang lagi pengguna Twitter.

Yang lain menggesa menteri kesihatan Khalid al-Falih dipecat.

Orang awam di Jazan juga menjadi mangsa serangan kerap peluru berpandu oleh pemberontak-pemberontak yang disokong Iran di negara jiran, Yaman, yang mana pasukan campuran diketuai Saudi telah menyerang para pemberontak Huthi Shyiah dan sekutu-sekutu mereka sejak Mac.