25 terpilih sertai Kursus Pemandu Jentera Berat

25 terpilih sertai Kursus Pemandu Jentera Berat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Seramai 25 orang yang terpilih untuk mengikuti Kursus Pemandu Jentera Berat ke-5 bagi 2015 telah menghadiri Majlis Taklimat Skim Biasiswa JPKE dan Menandatangani Kontrak Perjanjian Kursus Antara Pelatih dan Megamas Sdn Bhd, yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia (PPB), hari ini.

Hadir pada sesi taklimat itu ialah Pemangku Penolong Pengarah PBB, Awang Haswandi bin Haji Osman, Pengarah Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Awang Lim Hong Huat dan Timbalan Pengurus Besar Megamas Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Idris.

Kursus Pemandu Jentera Berat ke-5, 2015 dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Megamas Training Company Sdn Bhd selaku konsultan kursus yang dijalankan selama lima bulan dan dijangka akan berakhir pada 15 April 2016.

Kursus tersebut dikendalikan dengan kerjasama PPB, Jabatan Tenaga dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) melalui penglibatan ahli-ahli Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga (EICF) yang disokong oleh JPKE di bawah Dana Sumber Manusia.

Salah seorang pelatih menandatangani kontrak perjanjian kursus.
Salah seorang pelatih menandatangani kontrak perjanjian kursus.
Sebahagian daripada peserta kursus yang terpilih.
Sebahagian daripada peserta kursus yang terpilih.

Seramai 12 orang daripada pelatih kursus yang terpilih merupakan mereka yang memohon Kursus Pemandu Jentera Berat dari PPB.

Sementara itu, 13 lagi terdiri daripada pelatih yang sedang mengikuti Kursus Kelayakan Kemahiran Industri (ISQ) ‘Pemandu Profesional’ dari Pusat Latihan Mekanik (PLM).

Antara kandungan kursus yang akan dijalani oleh para pelatih termasuk Kursus Induksi Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE), Kursus Asas Pertolongan Cemas, Kursus Pandu Berhemah, Kursus Pacuan Empat Roda, Pemanduan Bas, Pemanduan Trak Kelas 4 dan 5, Pemanduan Treler Kelas 2 dan 11, Pengendalian Hiap Kren serta Rigging and Slinging.

Setelah semua pelatih menjalani latihan dan diiktiraf sebagai pemandu jentera berat yang berkelayakan dan profesional, mereka akan didedahkan dengan pengalaman bekerja sebagai pemandu jentera berat di beberapa buah syarikat yang telah dikenal pasti.

ARTIKEL YANG SAMA