250 pelajar khatam Al-Quran

250 pelajar khatam Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Seramai 250 orang pelajar kelas Al-Quran dan Muqaddam di Daerah Brunei dan Muara telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan isteri Yang Berhormat, Datin Hajah Zalina binti Haji Omar.

Turut hadir ialah Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis dan diteruskan dengan bacaan khatam oleh para peserta.

Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti semasa memimpin bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis khatam Al-Quran itu, kelmarin.
Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti semasa memimpin bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis khatam Al-Quran itu, kelmarin.
Para peserta khatam lelaki pada majlis itu.
Para peserta khatam lelaki pada majlis itu.

pg09_160201_d

Kemudian majlis disusuli dengan bacaan takhtim oleh guru-guru dan pelajar kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Mohamed Bolkiah, diikuti dengan bacaan doa khatam dan Dikir Marhaban.

Majlis ini merupakan julung-julung kalinya diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Takmir dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Jawatankuasa Takmir Masjid dan guru-guru kelas Al-Quran dan Muqaddam, Masjid Mohamed Bolkiah.

Ia merupakan satu pengiktirafan yang amat bernilai bagi kanak-kanak yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran dengan bimbingan guru-guru, di samping mendorong para tenaga pengajar kelas Al-Quran dan Muqaddam khususnya dalam mengusahakan pengajaran secara lebih bersistematik.

Selain itu, majlis juga bertujuan untuk mendokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar rakyat di negara ini celik Al-Quran.

Kelas Al-Quran dan Muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat telah ditubuhkan pada tahun 1999 dengan bertujuan untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat serta membantu sekolah-sekolah rendah dan agama dalam memudahkan para pelajar mempelajari Al-Quran.

Pada keseluruhannya, seramai 17,000 orang pelajar telah mengikuti kelas Al-Quran dan Muqaddam di seluruh negara.

ARTIKEL YANG SAMA