$25,000 dilarikan penyamun

$25,000 dilarikan penyamun

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Orang ramai terutama penduduk di sekitar Kampung Serusop, Berakas diingatkan supaya terus berhati-hati dalam melindungi harta benda dan keluarga mereka daripada dicerobohi atau dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saranan itu dibuat oleh seorang mangsa pecah rumah, Haji Ariffin bin Mohd Noor yang tidak mahu kejadian serupa menimpa jiran tetangganya ekoran rumah beliau dimasuki pencuri dan harta bendanya yang bernilai sekitar $25,000 dilarikan.

Ketika menceritakan kepada media, hari ini, beliau yang juga berjawatan Penolong Pegawai Foto Tingkat 1 di Jabatan Penerangan berkata, kira-kira pada pukul 6:45 petang 17 Oktober lalu, beliau bersama isteri meninggalkan rumah mereka yang terletak di Simpang 23-17, Kampung Serusop, Berakas untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Jerudong.

Sekembalinya beliau dan isterinya ke rumah sekitar pukul 11 malam, Haji Ariffin cuba membuka kunci pintu depan rumahnya, tetapi terkejut kerana mendapati pintu tersebut telah dikunci dari dalam.

ATAS & BAWAH: Keadaan pintu besi dan pintu belakang rumah yang dicerobohi oleh pencuri.
ATAS & BAWAH: Keadaan pintu besi dan pintu belakang rumah yang dicerobohi oleh pencuri.

p07-4_20151020

Mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku beliau pun bergegas ke bahagian belakang rumah dan sangkaan beliau menjadi kenyataan apabila mendapati pintu besi serta pintu belakang rumahnya telah dibuka secara paksa oleh seseorang.

Sejurus kemudian sambil khuatir penjenayah masih berada di dalam rumah, isteri beliau bertindak bijak menghubungi talian kecemasan polis 993 pada kira-kira pukul 11:03 malam.

Pihak polis dari Balai Polis Berakas tiba di rumah beliau tidak lama kemudian lalu menjalankan siasatan awal dan mendapati penjenayah telah pun melarikan diri bersama barang-barang milik keluarga tersebut.

Menurut Haji Ariffin antara barangan yang dilarikan pencuri termasuk kamera digital Nikon D4 dan D800, dua lensa kamera Nikon 16-35mm dan 24-70mm, Nikon Extender, beg kamera, kunci kereta, pasport, buku akaun bank, wang tunai, telefon bimbit jenama Samsung S4 Zoom, iPad wifi cellular 64gb, kamera GoPro Hero 4 berwarna hitam, sebuah perakam video Sony Handycam, beg tangan wanita Longchamp, beg duit, jam tangan dan pelbagai jenis minyak wangi.

Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei yang dihubungi mengenai kejadian samun itu mengesahkan Balai Polis Berakas telah menerima panggilan kecemasan itu dan menjalankan siasatan di tempat kejadian, tetapi enggan memberikan keterangan lanjut kerana kes itu masih dalam siasatan pihak polis.

ARTIKEL YANG SAMA