250,000 kanak-kanak kebuluran

250,000 kanak-kanak kebuluran

JUBA, 17 Jun (AFP) – Suku juta kanak-kanak berdepan kebuluran di Sudan Selatan yang dilanda peperangan, dengan usaha menamatkan konflik 18 bulan itu masih lagi belum membuahkan sebarang hasil, menurut ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diusir semalam.

“Enam bulan lepas, kami fikir keganasan dan penderitaan sudah di kemuncaknya dan sudah diambang damai. Namun kami silap,” kata Toby Lanzer, yang diusir dari negara itu awal bulan ini selepas memberi amaran mengenai kemelesetan ekonomi.

“Keengganan melaksanakan kompromi politik menyebabkan damai jauh panggang dari api, perang masih berlarutan dan menjurus kepada keruntuhan ekonomi.”

Peperangan saudara bermula pada Disember 2013 apabila Presiden Salva Kiir menuduh bekas timbalannya Riek Machar merancang rampasan kuasa, mencetuskan pembunuhan tindak balas di seluruh negara sekali gus memburukkan lagi kacau-bilau yang sedia ada.

Ia diburukkan lagi dengan insiden pembunuhan beramai-ramai etnik, rogo dan penggunaan tentera kanak-kanak.

Kajian oleh PBB menunjukkan nisbah seorang dalam tiga orang kanak-kanak di Sudan Selatan adalah berdepan kekurangan zat makanan yang teruk terutama di kawasan Juba. – AFP
Kajian oleh PBB menunjukkan nisbah seorang dalam tiga orang kanak-kanak di Sudan Selatan adalah berdepan kekurangan zat makanan yang teruk terutama di kawasan Juba. – AFP

“Separuh daripada populasi negara itu, nisbah seorang dalam tiga orang kanak-kanak adalah kekurangan zat makanan yang teruk dan 250,000 kanak-kanak berdepan kebuluran,” tambah lanzer, dalam laporan yang menggesa para penderma menyumbang bagi rayuan bantuan sejumlah AS$1.63 bilion, sambil berkata Sudan Selatan berada pada rangking “rendah dari segi kemajuan kemanusiaan berbanding negara-negara lain di dunia.”

Dua pertiga dari sejumlah 12 juta penduduk negara itu memerlukan bantuan, dengan 4.5 juta orang berdepan kekurangan bekalan makanan, menurut PBB.

“Pertempuran paling terbaru menyaksikan kejadian pembakaran rumah kediaman, tindakan meruntuhkan bangunan sekolah, hospital dan pos kesihatan, pencurian beribu-ribu haiwan ternakan, pemusnahan kawasan bekalan air, serta serangan lain ke atas prasarana dan aset yang diperlukan di kawasan pedalaman,” tambah laporan itu.

“Kelihatannya tiada sebarang usaha dibuat untuk menghentikan tentera daripada menyasarkan orang awam, dengan berleluasanya pengeboman pusat populasi dan penembahan secara semberono ke kawasan penempatan.”

ARTIKEL YANG SAMA