255 PATI ditahan dalam operasi sepadu

255 PATI ditahan dalam operasi sepadu

SANDAKAN, 17 Jun (Bernama) – Seramai 255 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah di sekitar daerah ini dalam operasi bersepadu tiga hari yang berakhir hari ini.

Dalam kenyataan MKN Sabah, sejumlah 592 orang disyaki PATI diperiksa dalam operasi itu dan sebanyak 300 menjalani pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Dokumentasi.

Mereka yang ditahan berusia 14 hingga 65 tahun itu adalah 170 warganegara Filipina (104 lelaki, 64 perempuan) dan 85 warganegara Indonesia (72 lelaki,13 perempuan).

Mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002) dan Peraturan-peraturan Imigresen kerana kesalahan memasuki dan berada di negara ini secara haram, kata kenyataan itu.

MKN berkata kesemua PATI berkenaan ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan sementara menunggu keputusan siasatan lanjut selama 14 hari.