25,574 OKU di S’wak mendaftar – Rohani

25,574 OKU di S’wak mendaftar – Rohani

KUCHING, 21 Mac (Bernama) – Sejumlah 25,574 orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menerusi Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya setakat Februari lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Katanya pecahan pendaftaran OKU di Sarawak mengikut kategori sehingga Februari adalah pendengaran 2,503 orang; penglihatan (2,923 orang); pertuturan (158 orang); fizikal (7,241 orang); masalah pembelajaran (9,349 orang); mental (2,855 orang) dan OKU pelbagai 995 orang.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Bengkel Audit Akses Dalam Persekitaran Alam Binaan di Pusat Penerangan Islam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohani berkata sejumlah 3,113 OKU berdaftar dengan 44 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh Sarawak melibatkan peruntukan RM4.9 juta.

“Angka ini membuktikan bahawa keperluan kepada persekitaran bangunan dan aksesibiliti dalam premis yang mesra dengan kekurangan mereka,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan untuk membina tiga PDK lagi di Sarawak iaitu di Saratok, Batu Niah dan Gedong.