256 graduan IBTE diraikan

256 graduan IBTE diraikan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Seramai 256 graduan menerima sijil masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) ke-22 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan yang diraikan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

Pengarah Pendidikan Teknik, Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif IBTE dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pelbagai perubahan telah dirancang dan dilaksanakan oleh IBTE untuk mencapai visinya menjadi sebuah institusi lepasan menengah yang terkemuka bagi pendidikan dan latihan teknikal vokasional di negara ini menjelang tahun 2018.

Dalam mencapai visi ini, IBTE sedang giat berusaha untuk mencapai sasaran bagi dua petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu kadar peluang pekerjaan graduan dan tahap kepuasan majikan terhadap graduan.

pg08_150617_b

pg08_150617_c

Yang Berhormat Pehin Orang Haji Awang Abu Bakar menyampaikan sijil kepada para graduan yang diraikan.
Yang Berhormat Pehin Orang Haji Awang Abu Bakar menyampaikan sijil kepada para graduan yang diraikan.
Dr Chin Wei Keh semasa menyampaikan ucapannya di majlis itu.
Dr Chin Wei Keh semasa menyampaikan ucapannya di majlis itu.

“Daripada hasil kajian yang telah dijalankan, sebanyak 96 peratus graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan atau pekerjaan bersyarat, di mana 97 peratus daripadanya bekerja dalam bidang yang bersesuaian atau relevan dengan program yang diikuti.”

Dalam pada itu, walaupun pada hakikatnya kadar peratus para graduan yang telah mendapat pekerjaan meningkatkan dari setahun ke setahun, apa yang penting adalah usaha gigih daripada semua pihak.

Menurut beliau lagi, dalam usaha untuk mempersiapkan para pelajar yang berkemahiran, IBTE telah mengkaji semula dan menstrukturkan kurikulum yang ada dengan menggantikannya kepada beberapa program berorientasikan permintaan serta berasaskan kemahiran.

Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan pada bulan Julai ini, sebanyak 27 program baru akan dilaksanakan. Program-program tersebut lebih memfokuskan kepada pendidikan dan latihan selaras dengan keperluan industri.

Ini adalah untuk memastikan untuk memastikan graduan-graduan yang dihasilkan setiap tahun akan dapat menepati piawaian industri, tambah beliau.

Di samping itu juga, dalam usaha IBTE untuk meningkatkan kemahiran anak-anak tempatan, menurut beliau, pelbagai program pembelajaran sepanjang hayat juga akan ditawarkan dan diperkenalkan oleh IBTE.

Program-program yang ditawarkan adalah berbentuk kursus pendek dengan matlamatnya untuk membuka peluang bagi orang ramai dalam melanjutkan pembelajaran serta meningkatkan kemahiran mereka.

Empat graduan yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik.
Empat graduan yang menerima Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik.
Antara para graduan IBTE yang diraikan di majlis konvokesyen ke-22 berkenaan, kelmarin.
Antara para graduan IBTE yang diraikan di majlis konvokesyen ke-22 berkenaan, kelmarin.

pg08_150617_e

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 13 graduan menerima Diploma Kebangsaan, 25 menerima Diploma, 10 menerima Sijil Kemahiran 2 dan 208 orang lagi graduan menerima Sijil Kelayakan Kemahiran Perindustrian (ISQ).

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik kepada Awang Ahmad Asyraf bin Abdul Aziz, Awang Ahmad Zulmuazzam bin Tarip, Dayang Noraqilah binti Mohd Azaman dan Awang Mohd Nadzirun bin Haji Abdul Halik.

Dayang Noraqilah, 26, yang mengambil jurusan ISQ Scaffolder, semasa ditemui meluahkan perasaan gembira dan penghargaan kerana tidak menyangka untuk mendapatkan Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik di majlis berkenaan.

“Alhamdulillah, selepas ini saya akan menyambung pembelajaran saya di peringkat yang lebih tinggi sehingga mencapai kejayaan yang saya ingini. Insya Allah saya berhasrat untuk menjadi pengajar di dalam bidang Scaffolder.”

Beliau menjelaskan, kerjaya sebagai scaffolder ini memang mencabar dan sebagai seorang individu haruslah sentiasa kuatkan semangat dan bersifat tidak berputus asa dalam menceburi bidang yang digemari.

Manakala itu, Awang Ahmad Zulmuazzam, 25, daripada jurusan Rigger, telah ditawarkan pekerjaan di salah sebuah syarikat di negara ini sebagai Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE).

“Salah satu cabaran yang harus dilalui semasa waktu penempatan kerja saya ialah mengharungi cuaca yang panas kerana kami bekerja di luar selama dua ketiga jam. Alhamdulillah, penempatan kerja saya di sana memberikan pengalaman yang amat berharga sehingga berjaya dalam mendapatkan Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Prestasi Terbaik hari ini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA