26 anggota CAF berpaling tadah

26 anggota CAF berpaling tadah

MONROVIA (LIBERIA), 9 Feb – Sekurang-kurangnya 26 negara Afrika akan menentang keputusan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) dengan tidak mengundi Sheikh Salman dari Bahrain pada pemilihan presiden FIFA, kata Presiden Bola Sepak Liberia, Musa Bility (gambar).

Bility yang gagal dalam ujian integriti untuk bertanding pada pemilihan yang dijadual pada 26 Februari ini itu mendakwa dia sudah bertemu dengan lebih separuh daripada keseluruhan ahli badan induk benua terbabit.

“Mari saya beritahu kamu, mereka tidak akan menyokong Salman,” kata Bility kepada Associated Press.

CAF sebelum ini berkata kesemua 54 ahli gabungannya bersedia untuk mengundi Sheikh Salman yang juga Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia.

Afrika memiliki jumlah undi paling besar di Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan undian daripada benua itu dijangka menjadi penentu kepada siapa yang bakal dilantik nanti. Begitupun, Bility berkata apa dikatakan CAF itu tidak sepenuhnya benar.

pg23_160210_b

“Sebagai sebuah negara, kami mempunyai hak untuk mengundi siapa yang kami mahukan. Hak kami tidak terikat dengan keputusan Jawatankuasa Eksekutif CAF,” kata Bility yang mengatakan undiannya adalah untuk se orang lagi calon, Putera Ali dari Jordan.

Dalam pada itu, pemimpin bersuara lantang itu juga berkata pihaknya sudah menghantar surat bantahan bagi mendesak Ketua Jawatankuasa Pemilihan FIFA, Domenico Scala untuk meletakkan jawatan atas ‘konflik kepentingan.’

“Scala harus meletakkan jawatan kerana dia mempunyai kerakyatan Switzerland, sama seperti salah seorang calon, Setiausaha Agung UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah), Gianni Infantino,” kata Bility.

Begitupun, FIFA membalasnya dengan mengatakan tiada seorang pun calon membangkitkan perkara ini.

“Tiada seorang pun calon membangkitkan perkara ini sehingga kini, yang melihatkan dengan jelas bahawa kesaksamaan Scala itu tidak menjadi persoalan oleh seorang pun daripada mereka,” kata jurucakap Jawatankuasa Ad-Hoc FIFA, Andreas Bantel. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA