26 anggota keselamatan maut di Afghanistan

26 anggota keselamatan maut di Afghanistan

KABUL, 26 Mei (dpa) – Berbelas-belas pemberontak menyerang beberapa pusat pemeriksaan di selatan Afghanistan, mengorbankan 26 anggota pasukan keselamatan dalam pertempuran sehari suntuk, menurut seorang pegawai hari ini.

“Serangan berlaku di daerah Nawzad semalam, yang menyaksikan 19 anggota polis dan tujuh anggota tentera terbunuh,” kata seorang pegawai polis dari wilayah Helmand dengan syarat tidak disebutkan namanya.

Setakat ini masih belum ada mana-mana kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Dalam insiden berasingan, sekurang-kurangnya seorang awam maut dan tiga anggota polis mengalami kecederaan dalam pertempuran di antara dua penyerang bunuh diri dan polis di wilayah selatan Kandahar, kata jurucakap gabenor wilayah, Samim Khepilwak hari ini.

Khepilwak berkata pasukan keselamatan mengepung bangunan tempat penyerang berlindung di wilayah ibu negeri Kandahar.

ARTIKEL YANG SAMA