26 buah buku dilancarkan

26 buah buku dilancarkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Bersempena dengan Mahrajan Hafl Al-Takharruj (Pesta Konvokesyen) ke-6 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), sebanyak 26 buah buku terbaru terbitan UNISSA telah dirasmikan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini, hari ini.

Berkenan berangkat bagi merasmikan buku-buku tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UNISSA.

Buku-buku terbitan terbaru itu terdiri daripada sebuah jurnal, sebuah kamus, empat buah monograf, manakala 20 buah lagi merupakan buku-buku ilmiah yang terdiri daripada 11 buku dalam Bahasa Arab, enam buku dalam Bahasa Melayu dan tiga buku dalam Bahasa Inggeris.

Bertepatan dengan tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-6 UNISSA iaitu Kewangan dan Keusahawanan Islam Menjana Generasi Berdikari, tiga buah buku yang berkaitan dengan kewangan Islam diterbitkan iaitu Bicara Perbankan Islam, Kad Kredit Mengikut Pandangan Islam dan buku suntingan Islamic Financial Literacy.

Buku-buku lain yang diterbitkan ialah sebuah jurnal iaitu Jurnal UNISSA bilangan 4 yang terdiri daripada tujuh artikel, sebuah kamus bertajuk Kamus Istilah Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud, Qisas dan Takzir) yang mengandungi istilah-istilah syarak berkaitan dengan undang-undang jenayah Islam yang merupakan satu kajian komprehensif dan begitu bermanfaat dalam memahami istilah-istilah berkaitan dengan undang-undang jenayah dalam Islam.

DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan buku-buku yang baru dilancarkan. - Gambar Infofoto
DYTM Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan buku-buku yang baru dilancarkan. – Gambar Infofoto

Di samping itu, terdapat empat buah siri monograf juga telah diterbitkan di antaranya siri pertama monograf hasil tulisan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned bertajuk Natijah Amali Kaedah-Kaedah Berfatwa dalam Disiplin Berfatwa Mazhab Syafi’i.

Juga diterbitkan ialah sebuah buku berisi kumpulan artikel yang dibentangkan dalam kursus Melayu Islam Beraja (MIB) yang bertajuk Menghayati Pemahaman MIB yang terdiri daripada tujuh artikel yang disediakan oleh pensyarah UNISSA dan pensyarah jemputan.

Selain itu, sebuah buku dalam Bahasa Arab bertajuk Al Qira’at al-Quraniyyah wa mauqif al-nahwiyyin Minha juga diterbitkan yang ditulis oleh pensyarah UNISSA mengenai dengan pendapat ahli tatabahasa Bahasa Arab terhadap Qira’at.

Antara barangan yang dipamerkan sepanjang berlangsungnya pesta konvo tersebut.
Antara barangan yang dipamerkan sepanjang berlangsungnya pesta konvo tersebut.

Manakala sebuah buku yang dihasilkan melalui kajian lapangan oleh beberapa penyelidik dari Sabah, Malaysia dan Brunei turut diterbitkan bertajuk Menguasai SPSS Dengan Mudah.

Dua buah buku hasil penyelidikan di bawah geran penyelidikan UNISSA turut diterbitkan dan masing-masing bertajuk Ketokohan dan Sumbangan Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam bidang ilmu dan Pendidikan dan Nazariyah al-Adab al-Islami lada al-‘Arab wa al-Miliziyyin: ‘Ard wa Tahlil (Teori Sastera Islam dalam Pandangan Orang Arab dan Malaysia: Perbincangan dan Analis).

Buku-buku yang berasal daripada tesis-tesis sarjana dan ijazah doktor falsafah juga diterbitkan, antaranya Gharq Safina Van Der Wick (Tenggelamnya Kapal Van Der Wick) tesis sarjana Bahasa Arab di UNISSA.

Buku-buku terbitan ini dihasratkan agar dapat menjadi sumber rujukan kepada pengkaji-pengkaji bahan ilmiah sebagai platform kepada masyarakat awam untuk memperkayakan lagi bahan bacaan.

ARTIKEL YANG SAMA