26 buah rumah mula bercahaya

26 buah rumah mula bercahaya

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Okt – Sebanyak 105 biji lampu LED Solar telah disumbangkan kepada 26 buah rumah di beberapa kawasan pendalaman di Daerah Tutong menerusi Program ‘Light It Up’, hari ini.

Ia merupakan program tanggungjawab sosial korporat Schneider Electric bersama-sama 14 buah syarikat rakan perniagaan yang menyumbangkan lampu LED Solar bagi membantu dan memudahkan kehidupan harian golongan yang kurang berkemampuan khususnya yang tinggal di kawasan pendalaman.

Turut hadir bagi menyampaikan sumbangan dan seterusnya membuat demonstrasi mengenai penggunaan lampu LED Solar ialah Presiden Schneider Electric Brunei, Jeffrey Yap dan beberapa wakil syarikat rakan perniagaan yang lain.

Projek yang pertama kali dilaksanakan oleh Schneider Electric bersama syarikat rakan perniagaannya itu, akan dapat membantu membawa kemudahan lampu yang selamat dan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui iaitu dengan kuasa tenaga suria.

Schneider Electric bersama wakil-wakil syarikat rakan perniagaan menyumbangkan lampu LED Solar kepada masyarakat pedalaman di Daerah Tutong.
Schneider Electric bersama wakil-wakil syarikat rakan perniagaan menyumbangkan lampu LED Solar kepada masyarakat pedalaman di Daerah Tutong.
Lampu solar dipasang di salah sebuah rumah.
Lampu solar dipasang di salah sebuah rumah.
Penduduk pedalaman Daerah Tutong diberi penerangan mengenai Lampu LED Solar.
Penduduk pedalaman Daerah Tutong diberi penerangan mengenai Lampu LED Solar.

Program ‘Light It Up’ merupakan projek tahunan Schneider Electric bagi memberikan peluang atau akses bagi komuniti pedalaman kepada kemudahan kuasa tenaga elektrik dengan menghulurkan sumbangan lampu LED tenaga suria atau solar.

Ini merupakan kali pertama program tersebut diadakan di Negara Brunei Darussalam yang mana pada tahun ini lebih 1,700 unit lampu LED Solar Mobiya disumbangkan kepada masyarakat pedalaman di 12 buah negara rantau Asia Pasifik iaitu Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Melalui projek ini, program tanggungjawab sosial korporat Schneider Electric itu telah menerima bantuan daripada Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan juga Jabatan Daerah Tutong untuk mengenal pasti sebanyak 26 buah rumah yang memerlukan bantuan iaitu di Kampung Benutan, Kampung Supon Besar dan Kampung Mapol, Daerah Tutong di mana mereka merupakan masyarakat yang kurang berkemampuan serta tidak mempunyai akses kepada bekalan tenaga elektrik.

ARTIKEL YANG SAMA