26 cedera, lelaki bakar bank

26 cedera, lelaki bakar bank

MELBOURNE, 18 Nov – Dua puluh enam orang tercedera hari ini, sebilangan mereka cedera parah selepas seorang lelaki membakar sebuah bank yang sibuk di Australia dengan seorang saksi mengatakan dia mendengar ‘letupan besar’ dan kanak-kanak berteriak.

Polis berkata lelaki itu telah memasuki cawangan bank Commonwealth, Springyale, pinggir kota Melbourne, dengan membawa cecair yang mudah terbakar. Sesetengah laporan mengatakan dia menyimbah dirinya dengan cecair itu dan terbakar, meskipun ia tidak dapat disahkan.

“Dia membawa sejenis cecair bersamanya. Satu kontena, saya tidak pasti apa yang ada padanya. Dan bagaimanapun cecair itu dinyalakan di dalam bank,” kata inspektor Jacqui Poida.

Motif tidak jelas dan Poida berkata terlalu awal untuk menyatakan jika ia berkaitan keganasan.

Paramedik berkata enam daripada mereka yang tercedera dalam keadaan kritikal. Seorang lagi dipercayai tersangka berada dalam kawalan polis di hospital.

Anggota bomba pantas tiba di tempat kejadian dengan pegawai pihak berkuasa Country Fire, Paul Carrigg mengatakan pintu bank bertutup apabila mereka tiba.

“Kebakaran di dalam bangunan. Dengan demikian mereka memasukinya dengan perkakasan pernafasan dan hos. Mereka telah menyelamatkan 25 orang, dengan tahap kecederaan dari melecur sederhana hingga cedera parah,” katanya lagi.

“Anda boleh melihat di dalam bank, keadaannya sangat hitam. Terlalu banyak api dan banyak asap.”

Dia menambah kata ‘kami memahami berlaku letupan dalam bank’.

Saksi, Ashley Atkin-Fone, diberi pujian sebagai wira selepas berlari ke dalam bank untuk membantu, berkata dia mendengar letupan besar dan kanak-kanak berteriak.

“Kanak-kanak datang berlari dalam keadaan luka terbakar, berteriak, darah di merata tempat. Saya masih lagi terkejut dalam masa beberapa minit,” dia memberitahu akhbar Herald Sun.

Atkin-Fone menyambar alat pemadam api dari sebuah kedai berhampiran dan berlari masuk ke dalam bank untuk cuba memadamkan api, dengan berkata “Apa yang anda lakukan? Naluri tiba-tiba muncul.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA