26 pati warga Filipina, Indonesia ditahan

26 pati warga Filipina, Indonesia ditahan

LAHAD DATU, 12 Sept – Pasukan Keselamatan yang diterajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam pelbagai operasi bersepadu bermula 9 Sept hingga semalam di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Komander Esscom DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata daripada jumlah itu 24 warga Filipina dan dua Indonesia berumur lingkungan 15 dan 50 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah, ditahan ketika cuba memasuki negara ini melalui jalan laut.

“Turut dirampas adalah tiga bot, tiga enjin pam 13hp, tiga enjin sangkut 15hp, 15 kampit beras, 10 paket gula dan 1 tong gas, kesemua rampasan bernilai lebih RM36,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, PATI yang ditahan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia manakala barangan seludup dan bersubsidi diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Katanya, ESSCom melaksanakan pelbagai operasi bersepadu dan pemantauan secara berterusan di perairan lima daerah termasuk Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan bagi membendung dan mengekang kemasukan penjenayah rentas sempadan daripada Selatan Filipina.

Ia susulan langkah dan tindakan drastik kerajaan Filipina memerangi penganas Abu Sayyaf Group (ASG) yang disyaki menjadi dalang kepada kes rompakan dan penculikan di kawasan perairan Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, mengenai insiden penculikan tiga nelayan warga Filipina (pemegang IMM13) di perairan Pulau Pom Pom di Semporna pada Sabtu malam, Wan Abdul Bari mahu pengusaha bot nelayan laut dalam serta bot tunda yang kini menjadi sasaran ‘Kidnapping For Ransom Group’ (KFRG), mematuhi arahan dikeluarkan Polis Sabah agar memasang Sistem Pengesanan Automatik (AIS) supaya pasukan keselamatan dapat mengawasi pergerakan bot di laut.

“Saya juga meminta kerjasama semua bot agar melaporkan pergerakan dan lokasi mereka kepada Pusat Operasi (PUSOP) Esscom pada setiap masa supaya pasukan keselamatan dapat memberikan bantuan dengan kadar segera,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata pasukan keselamatan tidak boleh berada di lokasi tertentu pada setiap masa untuk mengawasi dan memantau keselamatan yang berada di laut kerana terdapat lebih 100 bot nelayan dan bot tunda yang memerlukan pengawasan pihak berkuasa.

Menurutnya, kru bot perlu bertindak bijak termasuk berwaspada serta peka terhadap keadaan persekitaran dan melaporkan kepada PUSOP ESSCom di talian 089-863181 sekiranya mengesan individu mencurigakan agar bantuan dapat disalurkan segera. – Bernama