26 pegawai kanan terima sijil

26 pegawai kanan terima sijil

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept – Seramai 26 orang pegawai kanan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya menerima sijil masing-masing setelah menamatkan Bengkel Peta Jalan Budaya Keselamatan Strategik di majlis penutup yang berlangsung di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan, Kementerian Pembangunan di sini, hari ini.

Penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh menyaksikan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Haji Amer Hishamuddin bin POKAPDSS Haji Zakari selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Jabatan Kerja Raya (JKR), Pengiran Haji Mohd Noordin bin Pengiran Lela Perkasa Pengiran Haji Mohd Said, ketua-ketua jabatan dan bahagian di JKR, Kementerian Pembangunan.

Taklimat dalam bengkel dua hari anjuran JKR melalui Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, itu telah disampaikan oleh penceramah undangan dari Amerika Syarikat, Profesor Dominic Cooper untuk memberi pemahaman meluas mengenai aspek-aspek yang berkaitan dengan budaya kerja selamat dan sihat serta strategi-strategi yang perlu dibuat untuk membantu setiap organisasi di Kementerian Pembangunan.

Haji Amer Hishamuddin menyampaikan sijil kepada para peserta.
Haji Amer Hishamuddin menyampaikan sijil kepada para peserta.

pg08_150909_b

Maklumat bengkel ini juga diharap akan dapat disampaikan kepada pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing agar sama-sama dapat membudayakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Semua ini bertujuan untuk mengurangkan kemalangan di tempat kerja, bagi memperbaiki prestasi jabatan dan agar produktiviti kerja dapat dipertingkatkan.

Seperti yang diharapkan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Teknikal dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin semasa menyampaikan ucapan di majlis pelancaran, semalam, bengkel itu sudah menunjukkan hasil yang sangat baik di mana para peserta bengkel sudah memahami tatacara dan langkah-langkah terbaik untuk diguna pakai bagi membentuk strategi organisasi berbudaya selamat.

Sebagai inisiatif yang berterusan, JKR akan mengadakan bengkel khusus bagi pegawai dan kakitangan lain di JKR untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan dalam isu-isu keselamatan dan kesihatan seperti Kursus Panduan Keselamatan di Tapak Pembinaan, Kursus Keselamatan dalam Pejabat, Latihan Asas Health, Safety and Environment (HSE) bagi pegawai dan kakitangan baru serta taklimat pengurusan kimia.