26 pelajar berlepas ke China

26 pelajar berlepas ke China

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Rombongan seramai 26 orang pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa, hari ini, telah berlepas ke China untuk menyertai Kem Musim Sejuk Belia ASEAN ke-4 yang berlangsung di Huizhou, China, di mana ia akan berlangsung sehingga 23 Disember.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan pelajar tersebut ialah Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China (BCFA), Awang Ang Swee Chuan dan juga ahli-ahli keluarga para pelajar.

Rombongan pelajar itu diketuai oleh ahli jawatankuasa daripada Persatuan Persahabatan Brunei-China, Nelson Kwa dengan diiringi oleh dua orang guru pengawas.

Lawatan berkenaan bermatlamat untuk memberikan peluang kepada para belia memahami budaya masyarakat China, di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan persahabatan di antara negara-negara anggota ASEAN dan China,

Awang Ang Swee Chuan bergambar ramai dengan rombongan pelajar dan guru pengawas yang diketuai oleh Nelson Kwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Awang Ang Swee Chuan bergambar ramai dengan rombongan pelajar dan guru pengawas yang diketuai oleh Nelson Kwa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Nelson ketika ditemui sebelum rombongan itu berlepas berkata bahawa lawatan itu merupakan penyertaan kali ketiga bagi peserta Brunei bersama-sama peserta dari negara anggota ASEAN yang lainnya, di mana ia memberikan peluang kepada pelajar untuk bertukar-tukar pengalaman, budaya dan mengeratkan persefahaman di antara semua peserta.

Semasa kem selama 10 hari itu, para peserta akan berpeluang untuk tinggal bersama keluarga angkat masing-masing bagi memberikan mereka pengalaman mengenai kehidupan masyarakat di China dan untuk memahami lagi cara hidup serta budaya masyarakat China.

Selain berpeluang untuk merasa sendiri kehidupan masyarakat di China, para peserta juga akan dibawa untuk melawat ke tempat-tempat menarik serta akan mengambil bahagian dalam pertandingan fotografi.

ARTIKEL YANG SAMA