26 pelajar sertai Kursus Nadwah

26 pelajar sertai Kursus Nadwah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Seramai 26 orang pelajar dari lima buah sekolah telah dipilih untuk menyertai Kursus Nadwah Kemurnian Rohani bagi Penuntut Perempuan (Tahun 7 hingga 9) yang berlangsung selama empat hari di Bangunan Darul Huda, Pusat Dakwah Islamiah.

Pelajar-pelajar berkenaan adalah dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Serasa; Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri; Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong; Maktab Anthony Abell, Seria; dan Sekolah Menengah Masin.

Kursus anjuran Unit Kaunseling, Bahagian Penyebaran Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah dengan kerjasama Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan ini bertujuan untuk mendidik rohani dan jasmani serta melatih penuntut supaya berakhlak dengan akhlak Islam yang terpuji, di samping menjadikan mereka orang yang bertanggungjawab.

Selain itu, ia juga untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kualiti pembelajaran para penuntut supaya lebih berjaya dalam menghadapi kehidupan yang lebih mencabar, serta menanamkan semangat cintakan agama, pemimpin, negara dan hidup bermasyarakat.

Antara ibu bapa yang menghadiri majlis itu.
Antara ibu bapa yang menghadiri majlis itu.

Sepanjang kursus berkenaan sebanyak 18 aktiviti dan pembelajaran akan berlangsung seperti Ice Breaking, Aqidah, Asertif Diri, Keutamaan Menuntut Ilmu, Menangani Gejala Sosial, Jenayah Cyber dan sebagainya. Tiga orang tenaga pengajar jemputan dari Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, juga dijemput untuk mengendalikan kursus berkenaan.

Menurut pihak penganjur, kursus ini diharap akan mencapai objektif dan peranan unit kaunseling untuk melahirkan insan yang beriman, berakhlak, berilmu, berupaya, berkemahiran, berdedikasi, integriti, berkualiti, produktif, dinamik dan kreatif.

ARTIKEL YANG SAMA