260 kes denggi direkodkan di Sandakan

260 kes denggi direkodkan di Sandakan

SANDAKAN, 25 Nov (Bernama) – Sebanyak 260 kes denggi direkodkan di daerah ini iaitu ketiga tertinggi di Sabah dari Januari hingga 21 November lepas atau sehingga minggu ke-46 tahun ini.

Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan Dr. Johari Awang Besar berkata peningkatan kes demam denggi di daerah ini adalah tinggi bermula minggu ke-36 tahun ini.

Katanya pada masa ini terdapat lima lokaliti wabak yang masih aktif iaitu Taman Fai Yin, Taman Mawar Fasa 2, Taman Rajawali, Trig Hill dan Taman Kenari yang merekodkan 26 kes.

Sehubungan itu, katanya semua lapisan masyarakat diminta meluangkan masa 10 minit untuk melakukan pemeriksaan setiap minggu bagi menghapuskan tempat pembiakan aedes.

“Masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan berwabak juga perlu menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata masyarakat setempat juga perlu memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan menjalankan pemeriksaan di dalam dan luar rumah mereka.

“Masyarakat di daerah ini perlu melakukan tindakan pencegahan secara berterusan agar dapat membendung kes denggi daripada terus merebak,” katanya.

Katanya mana-mana penduduk atau penghuni rumah yang didapati membiak jentik-jentik nyamuk aedes boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak kurang dua tahun atau kedua-duanya sekali.