268 pelatih PKBN berjaya tempuhi cabaran

268 pelatih PKBN berjaya tempuhi cabaran

Oleh Sim Y. H. & Normazlina MD

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Bagi seramai 286 orang pelatih, iaitu 190 pelatih lelaki dan 96 pelatih perempuan, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan ke-5, hari ini merupakan hari yang penuh bermakna bagi mereka kerana telah berjaya menempuhi pelbagai cabaran sepanjang latihan sejak 6 Disember lalu dan diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad PKBN, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Upacara Perbarisan Tamat Latihan berkenaan dengan keberangkatan di padang kawad dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, ahli-ahli Task Force PKBN, para pegawai kanan kerajaan, jemputan khas serta ahli-ahli keluarga para pelatih yang diraikan.

Sejurus selepas keberangkatan, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima Hormat Diraja dan menerima hormat panglima, kemudian diteruskan dengan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang diikuti dengan para pelatih membuat perbarisan lalu dalam masa perlahan dan cepat serta perbarisan mara ke hadapan.

Yang Teramat Mulia kemudian berkenan untuk mengurniakan sabda sebelum dijunjung untuk menyempurnakan penganugerahan anugerah-anugerah pelatih terbaik dalam pelbagai bidang kepada enam orang penerima.

Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Awang Muhammad Nur Amin.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan penganugerahan kepada Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Awang Muhammad Nur Amin.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik menyempurnakan penganugerahan kepada Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, Dayang Alana.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik menyempurnakan penganugerahan kepada Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, Dayang Alana.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima pesambah.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menerima pesambah.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik bergambar ramai bersama salah seorang pelatih dan ibu bapanya.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik bergambar ramai bersama salah seorang pelatih dan ibu bapanya.

Pelatih-pelatih yang menerima anugerah berkenaan ialah, bagi Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan, Awang Muhammad Nur Amin bin Morsidi daripada Platun 7; Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan, Dayang Alana binti Pergi daripada Platun 6; Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan Kawad, Awang Muhammad Nur Rasyid bin Jaafar dari Platun 4; Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan Kawad, Dayangku Siti Aishah binti Pengiran Haji Mohd Ali daripada Platun 4; Pelatih Lelaki Terbaik Keseluruhan Jasmani, Awang Mohammad Hamizul Fakhri bin Hamiroldzam daripada Platun 7; dan Pelatih Perempuan Terbaik Keseluruhan Jasmani, Dayang Siti Saiamah @ Siti Nafsiah binti Haji Sijim daripada Platun 5.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa selamat dan diikuti dengan Ketua Perbarisan Tamat Latihan tampil ke hadapan bagi semua para pelatih dan pegawai yang bertanggungjawab dalam padang kawad untuk membuat perbarisan lalu dan diakhiri dengan perbarisan keluar dari padang kawad bagi menandakan tamat latihan bagi 286 orang pelatih bagi pengambilan kelima itu.

Seterusnya, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik dijunjung berangkat ke Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas bagi menyaksikan Pameran Mini Galeri Alumni PKBN sebelum berangkat dan dijunjung menandatangani buku lembaran kenangan serta berkenan menerima pesambah.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan beramah mesra bersama para pelatih dan ibu bapa serta penjaga mereka dan diselajurkan dengan bergambar ramai bersama para pelatih.

Upacara Perbarisan Tamat Latihan tersebut menandakan berakhirnya PKBN Pengambilan ke-5.

Program PKBN merupakan di antara program pembangunan belia yang antara lain menyumbang ke arah pembangunan modal insan pada menjayakan matlamat pembangunan negara.

ARTIKEL YANG SAMA