27 belia terima sijil bengkel YAP

27 belia terima sijil bengkel YAP

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Bengkel Belia Membasmi Kemiskinan (YAP) anjuran Persatuan SCOT menutup tirainya hari ini dengan penyampaian sijil kepada seramai 27 orang peserta pada majlis penutup yang berlangsung di Dewan Pusat Belia, di ibu negara.

Hadir menyampaikan sijil kepada para peserta yang terdiri daripada belia-belia tempatan ialah Pemangku Pengerusi SCOT, Awang Mohammad Khairul Azmi bin Haji Mohd Salleh.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian wang geran bernilai $500 kepada Kumpulan Cakah yang telah menghasilkan idea paling kreatif dan inovatif semasa Bengkel YAP.

Kumpulan berkenaan dianggotai oleh Dayangku Hanna Afiqah binti Pengiran Hassanal Ali Saifuddien, Dayang Bazeelah Rafaea, Mathew Chong Chee Cneong dan Awang Mohamad Ridzwan bin Haji Moksin.

Dayangku Hanna Afiqah, 22, yang merupakan graduan dari Universiti Brunei Darussalam, semasa ditemui pihak Media Permata melahirkan perasaan bersyukur dan gembira setelah kumpulan beliau dianugerahkan wang geran $500.

Kumpulan Cakah yang telah dianugerahkan wang geran $500.
Kumpulan Cakah yang telah dianugerahkan wang geran $500.
Awang Mohammad Khairul semasa menyempurnakan penyampaian sijil.
Awang Mohammad Khairul semasa menyempurnakan penyampaian sijil.

Beliau menjelaskan, idea kumpulan mereka adalah untuk membukakan satu laman sesawang atau platform online bagi memudahkan para pengguna dan orang ramai yang ingin membuat sumbangan berupa wang ataupun barangan keperluan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di negara ini.

Dengan adanya wang geran ini nanti, beliau berharap agar idea ini dapat menjadi realiti dengan bimbingan dan bantuan daripada SCOT serta sokongan daripada pihak berkuasa tempatan dan institusi yang ditubuhkan di Brunei.

Menurutnya lagi, jika idea ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan pada masa akan datang, beliau dan kumpulannya juga berharap akan dapat memberikan bantuan di negara-negara lain seperti Kuala Lumpur dan sebagainya.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 19 Ogos lalu itu bertujuan untuk mendidik dan memperkasakan pemimpin belia tempatan supaya mempunyai pemahaman yang lebih baik terhadap isu kemiskinan di Negara Brunei Darussalam.

Ia telah pun diisikan dengan forum yang mengetengahkan tajuk-tajuk menarik, aktiviti-aktiviti perancangan projek dan pembentangan serta lawatan ke rumah-rumah orang yang kurang berkemampuan, dengan tujuan untuk memberi kesedaran dan memahami dengan sepenuhnya keadaan hidup yang dilalui oleh orang-orang kurang berkemampuan.

ARTIKEL YANG SAMA